KERAJAAN tiada rancangan untuk menggubal undang-undang baharu bagi menjadikan rogol dalam perkahwinan sebagai jenayah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin.
Ini memandangkan kes seperti itu boleh ditangani sebagai kes kekerasan rumah tangga mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan.
Katanya, walaupun terdapat dakwaan jumlah kes rogol dalam perkahwinan tinggi, hanya satu laporan polis diterima setakat ini daripada seorang warga asing.
“Untuk sementara waktu gunakan dulu akta 375 A. Akta itu juga tidak digunakan sepenuhnya. Itu masalah kita. Hanya satu kes melibatkan warga asing,” katanya kepada pemberita di Parlimen.
Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah yang menuntut kerajaan menggubal akta baharu bagi menangani kes berkenaan.
“Maria kata ada banyak aduan tapi tidak ada orang buat laporan polis. Sebab isteri takut bila masuk penjara akan hilang punca rezeki. Jadi anda tidak boleh pandang satu sudut saja,” katanya.
Keengganan kerajaan untuk meminda undang-undang bagi menjadikan rogol dalam perkahwinan sebagai jenayah menjadi sasaran kritikan NGO wanita. – 31 Oktober, 2018.
Komen