Rayuan terhadap aktivis Adam Adli ditarik balik


Bede Hong

Pejabat Peguam Negara tidak meneruskan permohonan rayuan terhadap kes Adam Adli Abd Halim yang dilepaskan daripada pertuduhan menyertai perhimpunan #KitaLawan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Oktober, 2018.

PIHAK pendakwa raya menarik balik permohonan rayuan terhadap bekas aktivis pelajar Adam Adli Abd Halim, yang dilepaskan daripada pertuduhan menyertai perhimpunan #KitaLawan pada 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini dimaklumkan bahawa Pejabat Peguam Negara tidak akan meneruskan permohonan rayuan itu.

“Oleh itu, permohonan itu dibatalkan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin tidak memberikan sebarang alasan penarikan balik itu.

Adam Adli, 29, dilepaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada November tahun lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Beliau mohon dibicarakan pada September 2015 atas pertuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 selepas menyertai protes jalanan pada 28 Februari, 2015 dari pusat beli-belah Sogo ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, hingga Esplanade KLCC.

Sebelum itu, beliau didakwa bersama rakan aktivisnya, Mohd Fariz Abd Talib, yang dibebaskan tanpa dilepaskan kerana keadaan kesihatannya.

Adam Adli juga dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada Februari atas tuduhan hasutan berkaitan kenyataan dibuatnya menggesa kerajaan digulingkan, seminggu selepas pilihan raya umum pada 2013.

“Semua kesnya selesai,” kata peguamnya, Eric Paulsen, yang juga pengarah eksekutif Lawyers for Liberty.

“Ia berakhir dengan baik. Ia konsisten dengan janji kerajaan dan kami harap APA tidak akan lagi disalahgunakan, dan ia sepatutnya dipinda atau dimansuhkan.

“Kita sepatutnya menggalakkan hak demokrasi seperti kebebasan berhimpun dan bersuara. Apa juga Adam lakukan selama ini, konsisten dengan perlembagaan,” katanya.

Adam Adli ketika bercakap dengan media di luar mahkamah berkata undang-undang keselamatan drakonian seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan juga perlu dimansuhkan.

“Saya harap peguam negara yang baharu faham bahawa masa mahkamah tidak sepatutnya dibazirkan untuk kes yang bermotifkan politik, dan ia membazir duit pembayar cukai,” katanya.

Adam Adli berkata beliau akan meneruskan pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris selepas digantung untuk selama hampir enam tahun, dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Beliau pada masa ini bekerja sebagai koordinator belia untuk kerajaan negeri Pulau Pinang. – 31 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen