MENANTI detik pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November ini di Dewan Rakyat, menjadi detik paling suspens sepanjang 25 tahun karier sebagai wartawan. Sejak 1994, selalunya dua atau tiga minggu menjelang tarikh pembentangan, intisari belanjawan sudah boleh dihidu.
Selain menanti tindakan drastik yang akan dilaksanakan kerajaan bagi memacu ekonomi yang agak perlahan tahun ini, dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 4.9 peratus (sasaran awal tahun 5.9 peratus), media massa juga cuba menghidu tips penting yang bakal menjadi pemacu tema bajet.
Selain isu 38,000 unit rumah mampu milik bernilai RM22.8 bilion yang gagal terjual, serta memerlukan indikasi baharu dasar kerajaan bagi membolehkan pembeli mendapatkan pinjaman bank, rakyat turut menantikan khabar mengenai langkah-langkah utama untuk memperkasakan prestasi ekonomi 2019.
Selain itu, Bajet 2019 turut ditunggu penjawat awam. Walaupun mustahil adanya bonus, namun 1.4 juta penjawat awam tetap berharap wang ihsan dikekalkan. Bantuan Sara Hidup (BSH) yang menggantikan BR1M, dijangka akan mengalami pengurangan mendadak.
BSH pasti mengalami pengurangan agihan, kerana mustahil kerajaan membelanjakan RM8 bilion bajet BR1M menyamai bajet tahun lalu. Namun, penerima masih berharap angkanya kekal relevan. Terutama sebagai persediaan musim persekolahan Januari depan.
Justeru, bantuan RM1,200 seperti yang diumumkan dalam Bajet BN pada 2017, mungkin menurun dengan peruntukan sekitar RM3 bilion. Serta had kumpulan sasaran penerima akan dikecilkan.
Berdasarkan prestasi semasa kewangan kerajaan, ada kemungkinan angka BSH dikurangkan ke paras RM400 sahaja.
Selain itu, Cuepacs masih menuntut kerajaan PH menunaikan janji kerajaan BN untuk menaikkan gaji penjawat awam pada dua kenaikan seperti diumumkan mantan PM, Najib Razak.
Namun, sekali lagi isu prestasi kewangan kerajaan menjadikan perkara ini agak mustahil dilaksanakan.
Bajet 2018 memperuntukkan RM280 bilion, manakala merujuk petunjuk kewangan semasa, ada kemungkinan peruntukan Belanjawan 2019 menurun 10 peratus.
Ini sejajar dengan pengurangan hasil kerajaan sebanyak RM23 bilion apabila SST dilaksanakan bagi menggantikan GST pada 1 September lalu. Serta ditambah lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang dijangka tidak menentu berikutan isu perang tarif antara Amerika Syarikat dan China.
Semua realiti ini menjadikan Belanjawan 2019 akan diikat dengan segala macam keterhadan dan kekangan. Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sudah membayangkan, Belanjawan 2019 bersifat ‘bajet korban’. Rakyat harus bersedia untuk menerima hakikat, era subsidi pemberian bantuan wang tunai sedang menuju pengakhiran.
Suhu naik turun ekonomi dunia, serta keadaan harga minyak mentah yang dijangka kembali menurun di bawah paras AS$70 setong, satu lagi petunjuk, hasil negara akan berkurangan.
Bagi sektor korporat dan kumpulan berpendapatan tinggi pula, bajet tahun depan dijangka tahun pengenalan cukai baharu. Langkah ini penting untuk sumber tambahan pendapatan kerajaan.
Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai tidak menolak, kerajaan akan mencari pendapatan tambahan melalui kaedah percukaian. Ada cukai baharu yang bakal diperkenal, serta ada yang ditingkatkan kadarnya.
Ini termasuk mengenakan SST terhadap semua urus niaga internet. Sumber cukai ini amat relevan memandangkan urus niaga dalam talian dilaporkan melebihi RM10 bilion setahun dan tidak dicukaikan.
Selain isu kutipan cukai, hala tuju pembelanjaan Belanjawan 2019 juga menjadi perhatian. Menteri Agama, Dr Mujahid Yusof Rawa, sudah menyatakan harapan, agar kerajaan memberi peruntukan lebih untuk mengangkat taraf pendidikan tahfiz.
Usaha menaik taraf pendidikan Islam ini selaras dengan dasar kerajaan. Tidak dilupakan ialah nasib guru-guru KAFA.
“Saya harap kementerian diberi peruntukkan secukupnya untuk kita laksana dasar tahfiz negara dengan lebih berkesan bagi mencapai standard antarabangsa dan dapat menyumbang kepada negara, ” katanya.
Malaysia Rating Corporation menjangka, perhatian diberikan kepada golongan Bawah 40 (B40). Kumpulan ini bakal menjadi fokus khas kerajaan dalam Belanjawan 2019. Banyak inisiatif bantuan disifatkan lebih bersasar kepada isi rumah B40.
Tumpuan itu merujuk kepada hasil kajian Institut Penyelidikan Khazanah yang mendapati jurang pendapatan isi rumah 20 peratus tertinggi (T20) dengan isi rumah 40 peratus pertengahan (M40) dan B40 semakin melebar.
Justeru, Belanjawan 2019 sewajarnya menangani isu ini. Banyak perkara besar bersifat pendidikan, kesihatan dan pertahanan akan kekal jadi tumpuan utama dalam bajet Jumaat ini. Namun, perkara yang lebih dinantikan ialah tindakan rangsangan ekonomi yang drastik bagi mengatasi suasana pertumbuhan yang agak perlahan sekarang.
Selain, dasar-dasar yang terus membela isi rumah B40 ketika kerajaan berdepan dengan suasana kekangan kewangan yang sangat terhad.
Kita berdoa, dalam apa juga keadaan nasib marhaen B40 dikekalkan sebagai keutamaan. Terutama golongan B40 yang kini bergelut dengan realiti miskin bandar. – 31 Oktober, 2018
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen