TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali percaya jumlah undian yang diterimanya sudah tentu lebih besar jika bukan kerana undi yang hilang disebabkan masalah sistem e-voting.
“Tengok apa jadi di Selangor, 1,000 undi hilang di Ampang dan 800 undi hilang di cabang saya.
“Kalaulah undi ini dikira, margin saya akan jauh lebih besar daripada sekarang,” kata menteri hal ehwal ekonomi yang mempertahankan jawatannya sebagai orang nombor dua PKR.
Beliau mengulas dakwaan bahawa undi yang hilang semasa pemilihan parti di Kuala Selangor hujung minggu lepas adalah disebabkan capaian Internet yang lemah.
Pemilihan di Melaka dan Negeri Sembilan turut mengalami masalah sama hingga menyebabkan sekitar 2,000 undi hilang dan memaksa pemilihan semula diadakan.
Pemilihan PKR dijalankan secara berperingkat mengikut negeri dan menggunakan sistem pengundian dalam talian yang mencetuskan banyak masalah termasuk dakwaan perbuatan sabotaj menggunakan “jammer” Internert selain masalah lain.
Berkenaan dakwaan berlaku rasuah dalam pemilihan PKR, Jawaankuasa Pemilihan Pusat (JPP) perlu menyiasat aduan tersebut, kata Azmin.
“Dalam menjalankan pemilihan yang adil, JPP perlu bertindak secara bebas. JPP tidak boleh dipengaruhi atau ditekan oleh mana-mana ahli politik.
“Bagi mereka yang ada bukti, perlu tampil dan kemukakan kepada JPP,” Azmin memberitahu pemberita selepas idang Kemuncak Anti Rasuah 2018 hari ini.
Timbalan presiden PKR itu mempertahankan jawatannya dari pesaing beliau, Rafizi Ramli yang kini memegang jawatan naib presiden.
Pasukan Rafizi sebelum ini mendakwa Azmin terlibat dalam konspirasi menghalang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelapan.
“Saya percaya dengan kebijaksanaan ahli parti. Mereka sudah melihat kepimpinan saya dan mereka akan teruskan kepimpinan saya bagi menguatkan parti,” kata Azmin ketika ditanya mengenai peluangnya dalam pemilihan kali ini. – 30 Oktober, 2018.
Komen