AHLI perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho dan bekas pengarah Petro Saudi Patrick Mahoney merupakan dalang di sebalik penipuan 1Malaysia Development Bhd-Petro Saudi, kata pemberi maklumat warga Switzerland, Xavier Andre Justo.
“Untuk menjadikan penipuan itu berlaku, kamu memerlukan orang untuk menciptanya. Kamu perlukan minda penjenayah. Untuk membuatkan urusan antara 1MDB-Petro Saudi berlaku, mereka perlukan Jho Low dan Patrick Mahoney untuk merangka perjanjian kerana mereka tahu bagaimana menggunakan syarikat luar pesisir dan ruang yang ada.
“Mereka berdua adalah dalangnya,” kata Justo hari ini pada Persidangan Anti Rasuah 2018 yang diadakan di Kuala Lumpur.
“Selepas itu, kamu ada orang yang mempunyai wang seperti Najib (Razak) dan isterinya dan Tarek Obaid (ahli perniagaan dari Timur Tengah),” katanya.
Mengenai keberadaan Low, Justo berkata beliau sendiri tidak tahu.
“Saya tidak tahu di mana beliau berada, tetapi beliau akan ditangkap. Beliau membelanjakan wang dan bukan membuat wang dan suatu harinanti ia akan habis. Tak cukup untuk tinggal di sebuah negara namun ia akan mengambil masa,” kata Justo.
Sementara itu, bekas pengurus Petro Saudi mempertahankan Putera Turki Abdullah Abdulaziz Al-Saud.
“Mereka hanya mempergunakan beliau kerana namanya - Al-Saud. Ia nama yang berguna di Arab Saudi tetapi beliau hanya pemegang saham.
“Beliau tidak terlibat tetapi menerima wang yang banyak.”
Bagaimanapun, Turki perlu memulangkan wang berkenaan kerana ia melibatan “puluhan juta dolar”, katanya.
Justo membocorkan dokumen dari Petro Saudi berhubung usaha sama, yang disiarkan oleh media Malaysia dan antarabangsa dan mencetuskan siasatan pengubahan wang haram.
Beliau ditahan di sebuah pusat peranginan di Thailand pada 2015 dan dijatuhi hukuman tiga tahun penjara dan dibebaskan pada Disember 2016 selepas mendapat pengampunan diraja. – 30 Oktober, 2018
Komen