Bekas pelajar saman guru, KPM kerana enggan ajar Bahasa Inggeris 


Jason Santos

BEKAS pelajar sebuah sekolah menengah di Kota Belud, Sabah bertindak menyaman guru Bahasa Inggerisnya kerana enggan mengajar subjek berkenaan dan menyebabkannya gagal dalam mata pelajaran itu pada peperiksaan SPM, lapor Daily Express. 

Dalam kes undang-undang pertama negeri ini, plaintif, Siti Nafirah Siman, 19, berkata guru itu menafikan haknya untuk belajar subjek itu.

Guru terbabit, Jainal Jamrin, dinamakan sebagai defendan pertama. 

Lima lagi defendan adalah pengetua Sekolah Menengan Taun Gusi Suid Hanafi, pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud, pengarah pelajaran negeri, ketua pengarah Jabatan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan kerajaan persekutuan. 

Jainal merupakan guru yang ditugaskan mengajar Bahasa Inggeris di kelas Tingkatan 4 Siti. 

Dalam kenyataan tuntutannya, Siti berkata Jainal gagal hadir mengajar dalam beberapa waktu pada 2015. 

Katanya, pengetua sekolah, pejabat pendidikan daerah, pengarah pendidikan negeri dan ketua pengarah semua dimaklumkan berhubung masalah itu. ‘

Pegawai kanan jabatan itu turut mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan dan bertemu pengetua sekolah tetapi akhirnya tidak menangani masalah ketidakhadiran guru.

Pengarah pendidikan negeri Maimunah Suhaibul enggan mengulas mengenai saman tersebut ketika dihubungi hari ini. – 30 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen