Tinggalkan Umno dan budaya rasuah sebelum sertai Pakatan, kata Azmin


Asila Jalil

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata kerajaan komited terhadap agenda reformasi secara holistik untuk menyelamatkan ekonomi negara dan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2018.

PEMIMPIN Umno mesti meninggalkan parti mereka dan budaya rasuah jika mahu menyertai Pakatan Harapan (PH) kata, Mohamed Azmin Ali.

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, itulah yang dilakukan Mustapa Mohamed sebelum menyertai Bersatu pada Jumaat.

“Sekiranya ada ahli Parlimen Umno yang mengakui kejayaan kerajaan PH, (walaupun) dalam masa yang singkat tetapi kita komited kepada agenda reformasi secara holistik untuk menyelamatkan ekonomi negara dan rakyat.

“Pemimpin Umno, mesti menolak parti mereka sebelum menyertai PH. Ini dilakukan oleh Mustapa,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran laporan bersama mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan Asia Tenggara di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata Mustapa, yang juga dikenali sebagai Tok Pa adalah individu dengan kuasa kerana memberikan banyak fakta dan pencerahan sebagai ahli Parlimen Jeli.

“Dan sekarang beliau berasa Umno tidak dapat diselamatkan lagi kerana rasuah yang berleluasa sehingga ia meruntuhkan kedaulatan negara. Oleh itu beliau memutuskan untuk menyertai PH,” kata Azmin.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak berkata beliau yakin ramai pemimpin Umno dapat melihat perbezaan antara PH dan kepimpinan Umno.

Ditanya sama ada PKR akan menerima pemimpin Umno, Azmin berkata ia bergantung kepada individu itu asalkan individu itu meninggalkan budaya rasuah dan menerima agenda reformasi PH.

Mustapa keluar Umno pada 18 September dan berkata hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti selepas pemimpin kanan parti menghadiri kongres tahunan PAS di Kuala Terengganu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata PH mengambil sedikit masa untuk menerima Mustapa selepas keluar daripada Umno untuk mengetahui pendirian beliau dalam beberapa perkara tertentu.

Mustapa juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Lanas di Kelantan dan beliau adalah antara lima ahli Parlimen dan 13 Adun yang keluar Umno sejak Pilihan Raya Umum ke-14. – 30 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen