PEMBERI maklumat warga Switzerland, Xavier Andre Justo berkata, beliau sanggup “ulangi semula” sekiranya peluang untuk mendedahkan penyelewengan melibatkan 1Malaysia Development Berhad berulang.
Bercakap pada Persidangan Anti Rasuah 2018 di Kuala Lumpur hari ini, Justo berkata beliau membuat keputusan untuk mendedahkan skandal 1MDB selepas bertemu dengan wartawan Britain dan dua warga Malaysia.
“Ia bukan keputusan yang sukar kerana semua orang ada nilai moral.
“Tetapi saya boleh cuba mengelak penjara dan melindungi keluarga saya. Sekarang saya mahu penjenayah yang penjarakan saya dan mengugut isteri saya dipenjarakan juga.”
Daripada mendedahkan e-mel antara Petro Saudi dan 1MDB dari Thailand, Justo berkata beliau sepatutnya kembali ke Switzerland sebelum mendedahkan data.
Justo ditahan di sebuah pusat peranginan di Thailand pada 2015 dan dipenjara tiga tahun pada Ogos 2015 selepas polis Thailand berkata beliau mengaku memeras ugut dan cuba memeras ugut majikannya Petro Saudi International dan bekas rakan kongsi 1MDB.
Hukumannya dipendekkan kepada dua tahun di bawah pengampunan di raja pada Disember 2016. Justo membocorkan maklumat dari Petro Saudi berkaitan usaha sama yang disiarkan oleh kumpulan media Malaysia dan antarabangsa yang mencetuskan siasatan pengubahan wang haram.
Beliau mengatakan pengakuannya adalah secara paksa atau beliau berdepan hukuman penjara 10 tahun.
“Saya ditahan dan dipenjarakan dan tidak tidur. Mereka (pihak berkuasa Thailand meletakkan saya dalam penjara bersama 30 yang lain dalam bilik 30 meter persegi selama tiga hingga empat hari.
“Selepas itu, mereka memberitahu saya sama ada saya bantu mereka (dengan membuat pengakuan) atau dihukum penjara 10 tahun. Tetapi sekiranya saya mengaku, saya akan dibebaskan menjelang Krismas (18 bulan).
“Saya pasti semua orang akan melakukan perkara yang sama. Bahasa Inggeris saya tidak berapa baik dan jika kamu baca oengakuan sayaa kamu akan lihat ia ditulis oleh warga British,” kata Justo.
Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada moderator Transparency International Mohd Yunos Yusop berhubung mengapa beliau membuat pengakuan itu.
Justo turut menafikan beliau cuba memeras ugut majikannya Petro Saudi sebagai balasan kepada data yang membawa kepada pendedahan 1MDB.
“Saya tidak memeras ugut mereka tetapi hanya meminta wang saya. Wang yang sebahagian daripada gaji saya. Tetapi akhirnya mereka tetap tidak bayar,” katanya. – 30 Oktober, 2018
Komen