Apa lagi Najib boleh buat selain salahkan Arab Saudi tentang RM2.6 bilion, kata Dr Mahathir 


Chan Kok Leong

Perdana Mneteri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Persidangan Anti-Rasuah 2018 yang diadakan di ibu negara hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 Oktober, 2018

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mencemuh pendahulunya Najib Razak yang tetap dengan pendiriannya bahawa derma “RM2.6 bilion” adalah daripada Arab Saudi.

“Apa lagi yang boleh beliau cakap? Seluruh dunia tahu mengenainya dan Malaysia menjadi terkenal dengan kleptokrasi di bawahnya dan ia disiarkan di seluruh dunia.

“Sekiranya beliau bebas rasuah, beliau akan ambil tindakan terhadap mereka tetapi tidak boleh. Beliau mengancam mereka tapi tidak ambil tindakan,” kata Dr Mahathir kepada pemberita pada Persidangan Anti-Rasuah 2018 di ibu negara hari ini.

Beliau merujuk kepada pendirian Najib bahawa wang, yang didakwa dari 1Malaysia Development Berhad, adalah dari kerajaan Arab Saudi berikutan penafian daripada menteri luar kerajaan berkenaan Adel Ahmed Al-Jubeir baru-baru ini.

Beliau berata Najib didakwa berdasarkan bukti yang dikumpul oleh agensi di Malaysia dan bukan laporan media asing.

“Apabila wang dalam jumlah yang banyak (RM1 bilion) bergerak antara bank akan ada rekod. Terdapat jejak kepada orang yang mahu mencuri wang menerusi penyelewengan.

“Tambahan pula, Arab sudah tampil dan menyatakan mereka tidak beri sebarang duit,” kata Dr Mahathir.

Penafian Adel dilaporkan oleh Menteri Luar Saifuddin Abdullah selepas bekas menteri itu mengadakan lawatan ke Wisma Putra minggu lalu.

Adel sebelum ini tidak konsisten berhubung sumber dana berkenaan.

Dalam kenyataan pada 2016, beliau menyokong dakwaan Najib bahawa wang berkenaan adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Pada Julai tahun ini selepas kerajaan Barisan Nasional Najib tumbang pada Pilihan Raya Umum ke 14, Adel memberitahu The New York Times yang berliau tidak percaya wang itu adalah dari kerajaan Arab Saudi.

“Saya percaya ia adalah orang persendirian warga Saudi, dan dana itu disalurkan kepada pelaburan di Malaysia,” katanya kepada NYT.

Selepas pengumuman Saifuddin, Najib menerusi Facebooknya menjelaskan bagaimana wang berkenaan datang daripada Riyadh dan menyatakan beliau telah memulangkan kebanyakannya dalam beberapa bulan, serta memuat naik surat daripada Putera Abdulaziz Al-Saud mengenai derma dan slip pemindahan bank. – 30 Oktober, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen