Pelabur asing mula kembali ke Malaysia, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pelabur asing kini mula kembali ke Malaysia kerana gembira dengan langkah kerajaan yang serius menghapuskan rasuah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 Oktober, 2018.

PELABUR asing kembali ke Malaysia kerana mereka tidak lagi perlu memberi rasuah untuk membolehkan mereka berniaga, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Banyak pelabur yang enggan melabur di Malaysia kini sudah kembali.

“Mereka gembira dengan layanan kerajaan ini, yang tiada siapa meminta 30% saham atau enggan meluluskan permohonan kerana mereka enggan memberi rasuah kepada pegawai,” kata perdana menteri kepada pemberita di luar acara Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata terdapat sedikit laporan mengenai rasuah sejak kerajaan baharu mengambil alih.

“Tiada laporan mengenainya. Sekiranya ada yang tahu tentang insiden rasuah, beritahu kami. Kami akan melindungi dan mengambil tindakan terhadap pegawai rasuah.”

Sementara itu, Dr Mahathir menafikan pandangan yang mengatakan Bersatu menawarkan wang kepada Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamad untuk menyertainya.

“Kami tidak membuat perjanjian dengan penjenayah.

“Tetapi kami tidak memberikan wang dan kami menetapkan syarat untuk menyertai Bersatu adalah meninggalkan Umno dan menjadi bebas untuk satu tempoh dan kemudian memohon untuk menyertai kami.

“Ia bukannya mudah. Misalnya, Mustapa menjadi Bebas untuk beberapa waktu sebelum permohonannya diluluskan,” katanya. – 30 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen