PEMBERI maklumat akan dilindungi bagi membolehkan mereka merasa lebih selamat untuk membuat laporan berhubung penyelewengan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
“Kami mengalu-alukan masyarakat untuk melaporkan penyelewengan dan tiada tindakan akan dikenakan terhadap mana-mana pemberi maklumat,” katanya pada Persidangan Anti-Rasuah 2018 yang bertemakan “Tadbir Urus dan Integriti yang Baik untuk Pertumbuhan Mampan” hari ini.
“Ini adalah janji kerajaan baharu.”
Katanya, walaupun kurang berita mengenai penyelewengan melibatkan kerajaan baharu, amat penting untuk masyarakat umum memantau Pakatan Harapan bagi sebarang salah laku rasuah.
“Hari ini kita tidak dengar mengenai pemimpin yang korup dan tidak lagi disifatkan sebagai kleptokrasi. Kita telah kembalikan undang-undang dan undang-undang terpakai. Dan sekiranya terdapat rasuah dalam salah satu cabang kerajaan, yang dua lagi boleh mengambil tindakan terhadapnya,” kata pemimpin berusia 93 tahun itu.
Dr Mahathir berkata penyelewengan berlaku dalam pentadbiran terdahulu, yang mana katanya “menggalakkan” rasuah.
“Rasuah adalah slogan kerajaan terdahulu, Dan bila pemimpin atasan korup, yang lain akan ikut.
“Cash is king adlaah slogan ketika itu. Ia bermakna penyelewengan adalah caranya dan ia akan jadikan kamu raja dan berikan kamu kuasa.”
Menurutnya, rakyat Malaysia bagaimanapun bangkit dan bertindak balas terhadapnya dengan mengundi untuk perubahan kerajaan.
“Rakyat diberi rasuah dan wang. Tetapi mereka ambil dan mengundi untuk menentang pemberinya,” kata Dr Mahathir.
Tetapi sementara kerajaan baru membasmi rasuah, Dr Mahathir berkata ia adalah satu tugas berat kerana ia bermakna menghapuskan lebih ramai pegawai berpengalaman untuk golongan muda.
“Pembersihan melibatkan pegawai kanan dan menggantikan mereka dengan mereka yang mungkin tiada pengalaman. Selepas pembersihan, jentera akan menjadi lemah dan ia masih perlu membanteras amalan lama.
“Tetapi jentera sudah disusun semula dan kini terdapat empat agensi yang akan memantau rasuah,” kata Dr Mahathir.
Malaysia jatuh pada ranking terendah di kedudukan ke 62 pada Indeks Persepsi Rasuah 2017 berbanding tahun sebelumnya di kedudukan ke 55. Berbeza dengan negara jiran Singapura yang berada di kedudukan ke 6 tahun lalu. – 30 Oktober, 2018
Komen