DUA hakim bersara semalam menceritakan pengalaman masing-masing menyaksikan hukuman mati dijalankan, dan kedua-duanya percaya pelaksanaan hukuman gantung terhadap orang tidak bersalah adalah fakta paling kuat menentang hukuman mati.
“Tiada siapa bercakap. Mereka mengukur berat dan ketinggiannya, ada carta yang menunjukkan rumusan berapa panjang tali yang diperlukan. Jika ia terlalu pendek, dia akan menjerut. Jika terlalu panjang, ia akan menyebabkan kepala tertanggal .
“Kurang dari satu minit selepas mereka meletakkan kain di sekeliling kepalanya, mereka menarik tuil, dan pintu perangkap dibuka. Itulah bunyi paling kuat pernah saya dengar dalam hidup. Dan selepas itu sunyi,” Mah Weng Kwai mencertikan pengalamannya menyaksikan pelaksanaan hukuman gantung di penjara Pudu ketika menjadi majistret.
“Mereka membiarkan mayat itu selama setengah jam. Gabenor (penjara) meminta saya minum kopi sementara menunggunya,” kata Mah, yang kemudian bersara sebagai hakim Mahkamah Rayuan, di forum “Hukuman mati - Adakah ia pencegah”, di Petaling Jaya pada malam Isnin.
Walaupun beliau tidak pernah menjelaskan jenayah lelaki itu atau sama ada beliau percaya dia benar-benar bersalah, Mah dan hakim bersara Jaglit Singh berhujah bahawa sistem kehakiman itu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan yang mungkin melibatkan nyawa insan yang tersalah tuduh.
Mahkamah tidak dapat menjamin risiko sifar ketika menjatuhkan hukuman mati terhadap orang tidak bersalah kerana kesilapan manusia dan perbicaraan yang lemah, kata mereka.
“Kesilapan boleh berlaku,” kata Mah. “Dan hukuman mati tidak dapat mengurangkan insiden jenayah. Tiada bukti atau data empirikal yang tidak dapat dinafikan bahawa hukuman mati adalah pencegahan berkesan,” tambah anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman itu.
Turut hadir ialah Prematilaka Serisena, penceramah daripada Persatuan Buddha dan Rev Fr Michael Chua, ketua biskop Katolik Kuala Lumpur.

Mah juga mempersoalkan mengapa pelaksanaan hukuman mati dengan menggantung tidak dijalankan di khalayak ramai, sebaliknya dilakukan secara rahsia: “Untuk menjadi pencegah yang berkesan, tidakkah hukuman mati sepatutnya dijalankan di khalayak ramai dan diumumkan?” – 30 Oktober, 2018.
Komen