OMBUDSMAN akan membantu menyelesaikan masalah tadbir urus dalam kerajaan, kata Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel.
Badan seperti itu kata Gabriel, akan berfungsi sebagai pemantau aktiviti kerajaan demi kepentingan rakyat.
“Ada keperluan bagi satu badan ombudsman untuk mengawasi perkhidmatan awam dan seluruh pemerolehan,” katanya pada perbincangan pelbagai pihak mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Kuala Lumpur hari ini.
“Kalau anda lihat bagaimana besarnya masalah, bermula dari permohonan tender dibuka sehinggalah kepada penganugerahan tender, atau paling teruk, pelaksanaan projek, begitu banyak perkara yang perlu diperbaiki.”
Gabriel mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengabaikan isu konflik kepentingan dalam melantik ahli parti dan penyokong untuk menerajui syarikat berkaitan kerajaan.
“Kita sudah saksikan kerajaan PH tidak ambil serius mengenai isu konflik kepentingan,” katanya.
“Rakan parti politik dilantik ke dalam GLC; anak lelaki, anak perempuan, semua masuk. Politik nepotisme. Saya bena-benar fikir ini perlu diperbetulkan dalam usaha untuk memerangi isu kemiskinan dan memastikan infrastruktur sampai kepada golongan miskin tegar.”
Gabriel menyifatkan amalan birokrasi itu sebagai “sistem rosak” yang diwarisi oleh kerajaan PH selepas memenangi pilihan raya 9 Mei lepas.
“Ia merupakan sistem yang rosak dan tidak berfungsi. Jadi, dari Putrajaya ke Sabah dan Sarawak, anda dapati peruntukan untuk membina jalan raya dan sokongan infrastruktur selalunya tidak sakan sampai disebabkan oleh rasuah dan pembaziran.” – 29 Oktober, 2018.
Komen