CADANGAN Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mahu menjenamakan semula nama Barisan Nasional (BN) tidak dimaklumkan kepada parti malah tidak pernah dibincangkan, kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahli Parlimen Gua Musang yang dikenali sebagai Ku Li itu hanya mengetahui mengenai perkara itu melalui media.
“Saya baru baca dalam surat khabar, tidak ada rundingan (penjenamaan nama BN), tidak ada perkhabaran sebelum ini menyatakan nak ubah dalam BN sama ada mengadakan rundingan parti komponen,” katanya kepada media ketika di Lobi Parlimen hari ini.
Zahid sebelum ini mencadangkan nama BN dijenamakan semula dengan nama baru sebagai langkah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
Malah, Zahid turut berharap PAS akan menyertai dan mengukuhkan gabungan baru tersebut.
Dalam pada itu Ku Li berkata gabungan antara parti pembangkang merupakan langkah terbaik memandangkan Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada berbilang kaum.
“Macam konsep kerajaan campuran seperti perikatan, itu memang baik kerana tidak boleh bergantung dengan satu kaum dalam memimpin negara.
“Kita mempunyai pelbagai bangsa dan kaum, kena ambil kira semua aspek dalam menentukan dasar dan cara menjalankan pemerintahan, tidak boleh senang-senang buat keputusan ikut selera satu pihak.
“Kita (BN) berjaya 61 tahun memerintah negara atas dasar kerjasama dan persefahaman,” katanya.
Mengulas mengenai desakan supaya Zahid bercuti daripada jawatan presiden, Ku Li berkata ia terpulang kepada ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
“Itu pandangan sesetengah pihak mengikut apa yang pernah dilakukan. Pemimpin yang terlibat dengan kes mahkamah selalunya berundur semasa kes sedang berjalan.
“Itu dia punya hak (berundur atau tidak),” katanya yang juga pengerusi Majlis Penasihat Presiden Umno ketika diminta mengulas desakan sayap Pemuda meminta Zahid bercuti. – 29 Oktober, 2018.
Komen