Bersatu ajak ular sawa masuk sarang ular lidi, kata Ku Li


Nabihah Hamid

Tengku Razaleigh Hamzah berkata usaha Bersatu memujuk Umno itu seperti memikat ular sawa yang lebih berbahaya untuk masuk ke sarang ular lidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018.

UMNO akhirnya akan menguasai Bersatu sekiranya mereka benar-benar dibawa masuk ke dalam parti kerajaan itu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, pujukan Bersatu itu tidak ubah seperti usaha mengundang ular sawa yang lebih berbahaya untuk masuk ke sarang ular lidi.

“Ia ibarat jemput ular sawa ke sarang ular lidi. Jaga baik-baik,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen petang ini.

Beliau mengulas dakwaan ahli majlis tertinggi Bersatu bahawa seramai 40 orang ahli Parlimen pembangkang itu berhasrat untuk menyeberang ke parti Dr Mahathir Mohamad.

Dakwaan bahawa ramai ahli Parlimen Umno dilamar untu masuk parti Bersatu itu turut disahkan setiausaha agung Umno Annuar Musa hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh juga berkata beliau bagaimanapun tidak akan dipujuk Bersatu untuk lompat parti kerana menganggap dirinya seperti ular yang lebih “berbisa”.

“Saya tidak ada (dapat lamaran daripada parti lain) saya racun, kuat. (Bersatu) tidak berapa nak terima saya barang kali,” katanya bekas pemimpin gabungan parti Semangat 46 itu.

Putera raja Kelantan itu juga berkata beliau tidak tahu siapa yang berhasrat menyertai parti Bersatu.

“Tidak tahulah… Saya bukan ahli nujum (akan lompat) Kita nak tahan macam mana (jika ada yang mahu lompat), asalkan mereka tak berpaut kepada dahan yang rapuh,” katanya kepada media di lobi Parlimen tadi. 

Minggu lalu, ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed menjadi mengumumkan keanggotaannya dalam Bersatu, yang menjadikan jumlah ahli Parlimen parti kerajaan itu 14 orang.

Ahli Parlimen Umno pula kini berjumlah 48 orang.

Mustapa menjadi ahli Parlimen kelima yang keluar Umno sejak parti kerajaan itu kalah pilihan raya umum 9 Mei.

Selain itu, 13 orang Adun juga meninggalkan parti. – 29 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen