TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Ahli Parlimen Batu Pahat dari PKR itu berkata, sekiranya menang jawatan tersebut, beliau tidak akan mencampur-adukkan urusan politik dengan sukan.
Sebaliknya, beliau hanya akan membantu pasukan itu bersinar kembali dalam industri sukan negara, kata Rashid ketika mengumumkan pencalonannya hari ini.
“Memang timbalan menteri ada kata politik jangan campur dengan sukan tetapi saya tidak akan campurkan isu politik dan akan jadi profesional,” katanya lagi.
“Saya memang meminati bola sepak semenjak kecil lagi dan semasa saya jadi timbalan ketua menteri Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Sewaktu di jawatan tersebut, beliau membantu pasukan bola sepak Melayu Pulau Pinang yang berjaya menewaskan Kelantan dalam pertandingan Piala Emas Raja-Raja musim 2017.
“Jadi mengambil kira diantara Kelab termuda Liga Malaysia, saya ingin menawarkan diri bertanding sebagai presiden pada musim 2018-2022,” katanya pada sidang media hari ini.
Pemilihan Presiden KLFA katanya akan berlangsung 18 November ini.
Tambahnya, beliau akan membahagikan masa dan jawatan tersebut juga tidak akan membantu tugasnya sebagai timbalan speaker.
“Ahli Parlimen ada tiga kali persidangan dan sewaktu di Parlimen, ada orang akan bantu saya (tugas presiden),” katanya ketika ditanya mengenai tugasan di Parlimen. – 29 Oktober, 2018.
Komen