Ratifikasi ICERD tidak jejas hak Melayu, kata Mujahid


Nabihah Hamid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata pihak yang menyebarkan kononnya kesan ratifikasi akan menjejaskan institusi Melayu adalah tindakan tidak bertanggungjawab selain sengaja mencetuskan ketegangan kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018.

PUTRAJAYA menegaskan tindakan kerajaan menandatangani Konvensyen Antarabangsa Untuk Memansuhkan Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) tidak akan jejaskan hak Bumiputera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata pihak yang menyebarkan kononnya ratifikasi Malaysia akan menjejaskan institusi Melayu adalah tindakan tidak bertanggungjawab selain sengaja mencetuskan ketegangan kaum.

“Saya bertanggungjawab menjelaskan yang semua perjanjian melibatkan ratifikasi ICERD yang Malaysia berbaki beberapa lagi perjanjian yang belum diratifikasi, tidak akan memberi kesan kepada undang-undang dan apa yang termaktub dalam pelembagaan Persekutuan.

“Ini bermakna jika kita menandatangani atau melakukan ratifikasi ICERD, ia tidak akan mengubah apa yang sudah sedia ada diamalkan kecuali apa-apa undang-undang yang berkaitan mesti dibawa ke Parlimen,” katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen.

Beliau mengulas mengenai sebaran maklumat di aplikasi Whatapps mendakwa keistimewaan Bumiputera, kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantara, dan agama Islam sebagai agama Persekutuan akan terjejas.

Ia tular sejak seminggu lalu selepas Menteri Waytha Moorthy berkata kerajaan akan menandatangani ICERD dalam suku pertama tahun hadapan.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi sebelum ini turut menggesa rakyat membantah pendekatan kerajaan Pakatan Harapan ICERD kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan membelakangi Majlis Raja-Raja Melayu, lapor Utusan Online.

Bagaimanapun, Mujahid menjemput Dr Asyraf berjumpa dengannya untuk mendengar penjelasan sebenar.

“Sila datang. Saya terbuka memberitahu mereka apa realiti sebenarnya supaya tidak menjadi buah mulut dan akhirnya tular serta menimbulkan kebencian dalam negara ini,” katanya lagi. – 29 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen