Tidak semua gay jalin hubungan songsang, kata menteri agama 


Nabihah Hamid

Menteri Agama Mujahid berkata pihak kementerian berikrar akan menangani isu tersebut secara proaktif dan positif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018.

MENTERI Agama Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan tidak semua daripada jumlah 300,000 individu golongan Gay yang direkodkan terlibat melakukan aktiviti tidak bermoral. 

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata peningkatan mendadak yang direkodkan itu terdiri daripada pelbagai kategori termasuklah mereka yang hanya mempunyai keinginan melakukan perbuatan songsang itu.

“Kita tidak boleh kata lebih 300,000 itu semua terlonggok dalam perkara yang mereka telah lakukan

“Yang disebut  bilangan itu kita kena perincikan lagi, isu dia (jumlah itu) adakah mereka ada keinginan tetapi tidak semestinya mereka buat (hubungan sejenis), kita jangan ambil secara general dengan mengatakan (jumlah) itu buat salah.

“Daripada jumlah itu ada yang mempunyai keinginan  sahaja jadi kita tangani  dari awal. Ada yang terlibat perbuatan songsang itu dan dia sedar ia tidak betul dan mereka balik semula,”katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini. 

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan homoseksual di negara ini kini dianggarkan sebanyak 310,000 berbanding 173,000 pada lima tahun lalu, kata seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Statistik Kementerian Kesihatan pada 2013 menunjukkan terdapat kira-kira 173,000 individu homoseksual di negara ini, kata Dr Mohd Izwan Mohd Yusof, timbalan pengarah pembangunan sosial dan masyarakat Jakim.

Mereka termasuk 2% daripada jumlah keseluruhan penduduk dan 70% hingga 80% daripada mereka adalah Melayu.

Mujahid turut menambah, pihak kementerian berikrar akan menangani isu tersebut secara proaktif dan positif.

“Kita secara proaktif mengadakan program-program menerangkan kepada orang ramai bukan sahaja isu bilangannya tapi apa yang kita buat untuk kita tangani isu itu secara  positif.

“Jadi secara positif itu sama ada kita terangkan kepada awam, beri nasihat, kita suruh mereka (golongan Gay) kawal  dan suruh baiki dan ini antara yang saya ulang dulu,kami melihat secara positif  menanganinya  bukan secara negatif seperti setengah pihak,” katanya. – 29 Oktober, 2018.

 

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen