Maszlee sindir BN kerana hanya bimbangkan kasut dan stokin


Asila Jalil

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata kerajaan BN sebelum ini tidak meletakkan usaha serius berhubung isu UEC.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018

PEMBANGKANG hanya berminat dalam perkara berkaitan kasut dan stokin yang akan ditukar daripada putih kepada hitam, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) mengenai status terkini kajian holistik yang dibuat berhubung Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). 

Menurutnya, kerajaan sebelum ini tidak terlibat dan tidak meletakkan sebarang usaha berhubung perkara melibatkan UEC, dan mengecam BN kerana mempersoalkan langkah kementerian untuk menukar warna kasut sekolah dan stokin. 

“Bagi BN, ia hanya kasut dan stokin. Bagi mereka yang kepala hanya dipenuhi kasut, biarkan mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Kenyataan itu mencetuskan kekecohan dalam Dewan Rakyat apabila pembangkang mula menjerit ke arahnya dan pemimpin kerajaan dilihat ketawa. 

Maszlee sebelum ini dikritik oleh pembangkang berhubung keputusannya untuk menukar pakaian seragam sekolah termasuk kasut sekolah dan stokin putih kepada hitam.

“Kepada mereka yang menonton, jangan jadi seperti mereka. Kami sudah bangkitkan 100 perkara tetapi mereka hanya ambil satu,” kata Maszlee. 

Maszlee berkata pengiktirafan UEC dibuat holistik dan bukan dalam keadaan tergesa-gesa. 

Katanya, perlu ada proses penglibatan membabitkan pihak berkepentingan, termasuk mereka yang setuju, menentang atau neutral dengan UEC. 

“Ini perlu dilakukan. Kerajaan sebelum ini tidak meletakkan usaha untuk penglibatan dan hanya mempolitikkan isu. 

“Ini bermakna tiada usaha yang serius diambil oleh kerajaan sebelum ini,” kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu. 
 
Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan memulakan usaha yang besar bagi mencari penyelesaian berhubung isu UEC. 

Tambahnya proses rundingan akan melibatkan semua pihak dan ia dibuat dengan proses dari “bawah ke atas” berbanding “atas ke bawah” yang diamalkan oleh BN. 

“Malangnya Ahli Parlimen BN hanya mementingkan kasut dan stokin. Inilah tahap ahli Parlimen BN,” tambah Maszlee. – 29 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen