PEMIMPIN PKR pusat dan negeri mengakui gagal mempromosi Azmin Ali dengan agresif sehingga menyebabkan penyandang jawatan timbalan presiden itu tewas di Perak.
Selain itu, pemimpin berkenaan juga mengaku tidak berjaya membawa keluar penyokong Azmin turun mengundi – daripada sejumlah 60,883 ahli PKR di negeri itu.
Ini menyebabkan 20 daripada 24 cabang PKR memilih pencabarnya, Rafizi Ramli, yang menang dengan kelebihan 2,301 undi mengatasi Azmin di Perak.
Menteri hal ehwal ekonomi itu juga kurang turun padang di Perak bertemu akar umbi, berbeza dengan pemilihan sebelumnya menentang Khalid Ibrahim, kata pemimpin ini.
Ahli pula kurang semangat apabila pemilihan di 24 cabang di Perak ditangguhkan selepas kekecohan di Kedah, kata salah seorang naib presiden, Tian Chua.
Bekas ahli Parlimen Batu itu mengaitkan sikap ahli yang kurang bersemangat itu dengan sikap pengerusi PKR negeri itu sendiri Dr Mohamad Nur Manuty.
“Selain kurang mobilisasi bawa keluar pengundi, pimpinan Perak yang menyokong Azmin juga kurang agresif.
“Tidak agresif maksudnya Dr Mohamad Nur Manuty adalah seorang ahli akademik, dia bukan jenis lawan-lawan.
“Pemilihan di Perak kali ini adalah hari yang ditangguhkan, sebelum ini jentera dah bersedia pada tarikh pertama, bila batal maka semangat mungkin luntur,” kata Chua ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Dr Mohamad ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas namun beberapa pemimpin PKR Perak nyata kecewa kerana Azmin kalah di negeri mereka dengan majoriti lebih 2,000 undi.
“Operator juga gagal main peranan raih sokongan. Azmin juga jarang turun padang kali ini mungkin sibuk sebab jadi menteri,” kata seorang bekas ketua cabang yang menyokong bekas Azmin.
Selain Azmin, calon untuk jawatan tinggi lain dari kem Azmin juga kalah, kata pemimpin akar umbi.
“Kita kalah teruk kali ini kerana pertembungan beberapa penjuru di Perak juga banyak kem Rafizi. Kem Azmin juga banyak kalah peringkat negeri,” kata seorang anggota yang menang jawatan ahli jawatankuasa cabang.
“Kita akur dengan kehendak anggota PKR dan terima keputusan Perak. Selepas ini di negeri lain perlu lebih kerja keras lagi,” kata Ketua Penerangan PKR Perak Siti Aisah Shaik Ismail.
Dalam pemilihan fasa kedua di Perak semalam Rafizi meraih 6,785 undi berbanding 4,484 undi diperolehi Azmin.
Keputusan itu membolehkan Azmin kembali mendahului dengan 49,969 undi terkumpul, berbanding jumlah 48,558 undi dikumpul Rafizi untuk fasa ketiga pemilihan setakat ini.
Azmin sebagai timbalan sebelum ini merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR di dua negeri iaitu Perak dan Selangor. – 29 Oktober, 2018
Komen