KERAJAAN dijangka akan menamatkan hukuman ke atas kesalahan berkaitan dadah terlebih dahulu sebelum kes-kes jenayah lain, kata Khasturiraani Patto.
“Terdapat konsensus dalam kalangan Pakatan Harapan yang hukuman mati akan dikeluarkan daripada 39B,” kata Ahli Parlimen Batu Kawan itu pada satu forum yang diadakan di Shah Alam malam tadi.
Khasturiraani yang menyokong pemansuhan hukuman mati berkata, cadangan itu akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi tetapi tidak dapat dipastikan sama ada usul berkenaan akan dibentangkan pada sidang Parlimen sekarang.
“39B” yang terkenal itu merujuk kepada seksyen dalam Akta Dadah Berbahaya yang mana hukuman mati dijadikan mandatori pada 1983.
Tahun lalu, kerajaan Barisan Nasional mengeluarkan terma “mandatori” dan memberikan hakim kuasa penuh untuk menentukan hukuman terhadap kesalahan berkaitan dadah.
Pada forum berkenaan, Khasturi menjelaskan tidak mudah untuk menamatkan hukuman mati di Malaysia kerana ramai yang mahu ia dikekalkan.

“Selepas kaji selidik dijalankan oleh sebuah akhbar harian, ada yang meminta pihak berkuasa mengikut China dan mengenakan hukuman mati terhadap jenayah rasuah,” kata Khasturi.
Beliau berkata, NGO dan aktivis hak asasi manusia terus berusaha untuk menamatkan hukuman mati di Malaysia. mereka kini sedang bergerak dengan lebih berhati-hati.
“Selepas kerajaan berkata ia mahu menamatkan hukuman mati, mereka lebih berhati-hati bagi memastikan tiada tindak balas,” tambahnya.
Setakat Jun 2018, 1,267 orang berdepan hukuman mati dengan 900 daripadanya kerana kesalahan berkaitan dadah.
Pada 2016, Malaysia merupakan antara 23 negara yang menjatuhi hukuman ke atas 1,023 secara global dengan sembilan hukuman mati.
Selain penyeludupan dadah, Malaysia turut melaksanakan hukuman mati kepada pembunuhan, pengkhianatan dan jenayah berkaitan keganasan. – 29 Oktober, 2018
Komen