Pandang serius inisiatif hijau rakyat, kata aktivis Pulau Pinang


K. Kabilan

Aktivis Penang Forum mengadakan protes di hadapan Majlis Bandaraya Pulau Pinang selepas tragedi tanah runtuh yang mengakibatkan sembilan nyawa terkorban di Bukit Kukus, Paya Terubong baru-baru ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh David St Loh, 29 Oktober, 2018.

SEBULAN selepas laporan pemantauan yang menekankan 16 kes baharu penarahan bukit dan aktiviti pembinaan di Pulau Pinang diserahkan kepada kerajaan negeri, aktivis berkata mereka masih belum menerima sebarang maklum balas. 

Daripada 16 kes, dua daripada yang diberi perhatian menyaksikan kejadian tanah runtuh  – tragedi Bukit Kukus pada 19 Oktober yang mengorbankan sembilan nyawa, dan tragedi tanah runtuh Granito pada tahun lalu yang menyebabkan 11 orang terkorban. 

“Kami berikan empat laporan kepada negeri, yang terbaharu pada September tahun ini. Kami tekankan pemantauan aktiviti penarahan bukit, termasuk di tapak Bukit Kukus,” kata aktivis Penang Forum Rexy Prakash Chacko yang menyelaras inisiatif Penang Hills Watch (PHW).

PHW dilancarkan oleh Perang Forum pada Oktober 2016 bagi memantau “pemerhatian aktiviti penarahan bukit di lapangan.”

Daripada 18 kes yang direkodkan PH pada laman web pemetaan interaktifnya, kira-kira 90 adalah sumber daripada data yang direkodkan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri pada 2015 dan 2016. Selebihnya adalah daripada awam, yang kemudiannya diperiksa, disusun dan diserahkan dalam satu siri empat laporan kepada pihak berkuasa negeri.

“Dalam laporan terbaru kami, kami mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa negeri untuk 16 kes baru yang dipantau antara Oktober 2017 dan Ogos 2018,” kata Rexy kepada The Malaysian Insight.

“Kami juga mahu membuat susulan kes-kes yang dilaporkan dalam laporan September 2017 sebelum ini,” kata penggemar aktiviti mengembara yang juga seorang jurutera itu. 

Bagaimanapun, selain daripada nota “terima kasih”, mereka tidak banyak mendengar sebarang maklum balas yang diminta daripada pihak berkuasa tempatan. 

“Inilah cabaran dengan pihak berkuasa tempatan kita. Mereka bertugas berasingan. Tiada kerjasama antara jabatan. Mereka juga gagal melihat gambaran penuh,” katanya.

Aktivis Penang Forum Rexy Prakash Chacko yang menyelaras inisiatif Penang Hills Watch (PHW).– Gambar The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018     

Mendengar luahan rakyat

Rexy berkata kerajaan negeri perlu mendengar dan mengambil perhatian terhadap inisiatif proaktif rakyat, kerana orang ramai adalah pihak yang penting dalam pembangunan negara.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu mengenakan moratorium ke atas pembangunan lereng bukit sehingga ia memantau dan menguatkuasakan semua keperluan undang-undang dan alam sekitar yang diperlukan.

Aktivis mendakwa kerajaan negeri berulang kali mengabaikan gesaan mereka untuk siasatan awam dan memberi amaran  terhadap aktiviti pembersihan bukit

Seorang lagi wakil Penang Forum, Lim Mah Hui, berata Majlis Perbandaran Pulau Pinang - sebagai pemilik projek di Bukit Kukus - tidak mempunyai keupayaan institusi untuk memantau dan menilai langkah keselamatan yang perlu dan harus dipatuhi oleh kontraktor.

“Justeru, jika ia masih menegaskan untuk meneruskan projek lebuh raya, ia akan menjadi sangat tidak bertanggungjawab untuk berbuat demikian,” katanya kepada The Malaysian Insight.
 
Beliau juga berkata terdapat keperluan mendapatkan penilaian bebas bagi menentukan sama ada projek lebuh raya Bukit Kukus dapat diteruskan atau tidak.

Dalam laporannya, PHW telah berkata bahawa pemantauan di lokasi Bukit Kukus merujuk kepada kerja-kerja bumi yang diluluskan dan menunjukkan pemotongan cerun yang luas.

Ia mendakwa imej Google Earth dari Ogos 2017 hingga Februari 2018 menunjukkan “penarahan bukit dan cerun lebih terbuka untuk pembinaan Jalan Paya Terubong, tanpa langkah-langkah pengurangan untuk menghalang hakisan tanah”.

Antara kawasan-kawasan yang ditanda adalah kawasan yang dipantau Penang Hills Watch (PHW) mengenai aktiviti-aktiviti yang berlaku di kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018.

“Tapak ini menjadi penyumbang utama hakisan tanah yang dihanyutkan dengan air hujan lebat mengakibatkan banjir lumpur sepanjang Sungai Dondang-Sungai Air Itam-Sungai Pinang pada 4 dan 5 November 2017,” menurut laporan itu.

Naib Presiden Persatuan Alam Sekitar Malaysia, Eric R. Sinnaya memberi amaran bahawa Pulau Pinang berhadapan dengan lebih banyak bencana jika kerajaan negeri terus mengabaikan isu alam sekitar.

“Kamu tidak boleh menyalahgunakan alam sekitar, lebih-lebih lagi apabila ia adalah sebuah pulau. Saya bimbang kita melampaui batas, “katanya kepada The Malaysian Insight.
 
Beliau berkata kerajaan negeri harus mula bekerja dengan masyarakat sivil untuk mengelakkan lebih banyak bencana yang membawa maut yang hanya akan berlaku jika perkembangan berleluasa berterusan. – 29 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen