KETUA Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal akan membuat semakan semula mengenai pengeluaran lesen memancing laut dari kerajaan persekutuan, di samping mencadangkan prosedur yang memerlukan kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu bagi mendapatkan lesen tersebut.
“Sebarang kelulusan dari kementerian pertanian dan industri berasaskan tani daripada kerajaan persekutuan mesti mendapat persetujuan kerajaan negeri terlebih dahulu kerana kami mahu memberi keutamaan kepada nelayan Sabah terlebih dahulu.
“Langkah-langkah ini bukan sahaja memerlukan pembaharuan prosedur persekutuan yang sedia ada tetapi dalam jangka panjang akan membantu negara mengawal penangkapan ikan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Festival Nelayan ke-18 di Menumbok, kira-kira 143 kilometer dari Kota Kinabalu , hari ini.
Beliau berkata jika kerajaan persekutuan menerima cadangan tersebut, kerajaan negeri akan mempunyai lebih banyak kawalan ke atas industri perikanan di negeri ini.
Mengenai perkembangan lain, Shafie yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara berkata, usaha akan terus ditingkatkan untuk menghentikan operasi kapal nelayan asing daripada menceroboh perairan negeri dan mengganggu kehidupan masyarakat nelayan Sabah.
Beliau juga meminta lebih banyak usaha untuk dilakukan bagi meningkatkan aktiviti akar umbi yang berkaitan dengan sektor perikanan.
“Tidak ada gunanya jika kita hanya dapat menangkap ikan dan menjualnya, jika kita tidak memulakan inisiatif pembungkusan ikan sardin atau yang seumpama dengannya,” katanya lagi.- 28 Oktober 2018.
Komen