BEBERAPA tahun lalu, seorang jiran yang juga seorang sarjan polis datang berziarah dan memberitahu saya dan ayah, dia mahu mengeluarkan anaknya dari sekolah kebangsaan untuk masuk ke sekolah Tamil.
Saya kata kepadanya itu satu langkah yang salah kerana perpaduan hanya akan wujud sekiranya semua rakyat Malaysia menghantar anak ke sekolah ke sekolah kebangsaan atau sekurang-kurangnya ke sekolah mubaligh yang menggunakan silabus dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.
Sarjan itu menolak idea tentang perpaduan dan menjelaskan alasan dia mengeluarkan anaknya dari sekolah kebangsaan. Mudah saja, katanya, guru kelas menyalahkan kemunduran anaknya pada keturunannya, dan memperolok-olokkan “bau badan orang India”.
“Saya mungkin seorang sarjan polis dan berkhidmat untuk negara tetapi sekolah itu mengamalkan sistem kelas dan perkauman. Saya tidak mahu anak saya menderita,” kata jiran itu.
“Dia akan lebih senang kalau bersama kaumnya, setidak-tidaknya tiada sesiapa yang mengejek bau badannya,” tambahnya.
Saya teringat semula perbualan itu minggu ini apabila ada berita sebuah sekolah kebangsaan di Hulu Langat mengamalkan “aparteid cawan” – melabelkan gelas plastik untuk pelajar Islam dan bukan Islam.
Alasannya, guru besar menyebut tentang “kesihatan” dan sesetengah pelajar makan makanan tidak halal di sekolah.
Menurut laporan media, sekolah itu mempunyai 214 murid Melayu, 163 India dan lima Cina. Kejadian itu sudah tentu mencetuskan kemarahan dan pihak sekolah kini menukar label itu dengan meminta semua murid membasuh gelas selepas menggunanya.
The Malaysian Insight melawat sekolah rendah di Taman Puteri, Hulu Langat itu pada Jumaat dan mendapati murid-murid yang terlibat pada umumnya tidak terjejas dengan perubahan itu dan jelas tidak menyedari kemarahan dan keresahan yang ditimbulkan oleh label berkenaan.
Ditanya kenapa gelas itu dipasang label, sesetengah murid yang ditemui berkata mereka pun tidak tahu sebab-musababnya dan hanya ikut arahan.

Dari situ kita tahu satu perkara. Anak-anak tidak tahu menahu tentang perkauman. Orang dewasalah yang menyemai dan menanam konsep itu pada mereka.
Dan daripada apa yang kita lihat, perkauman yang terpendam berbenih sejak dari umur kecil. Barangkali ada benarnya pepatah Inggeris jalan ke neraka berturap niat yang baik.
Ada sekelompok kecil guru-guru sekolah yang merasakan apa yang mereka buat itu betul – sama ada mengaitkan kecerdasan atau bau badan dengan etnik seseorang atau melabelkan gelas untuk melindungi murid Islam daripada kekotoran mengikut piawai fahaman agama mereka.
Tetapi masih ada cara lain yang lebih baik untuk membetulkannya daripada mengejek-ejek orang lain atau meletakkan label seperti itu. Sains menunjukkan tidak wujud apa yang dikatakan sebagai kaum manakala warna kulit dan ciri-ciri fizikal yang lain ada kaitan dengan faktor-faktor genetik.
Malah agama seperti Islam tidak memandang kaum seseorang. Jadi apa perlunya menghina orang lain, untuk menunjukkan ketaatan kepada agama dengan sibuk mengasingjan gelas dan perkakas lain?
Kerajaan mengeluh tentang perpaduan nasional dan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menyatukan rakyat, dengan memperkenalkan kem khidmat negara sampailah kepada acara 1Malaysia dan sekarang Transformasi Nasional 50 (TN50).
Semua itu baik tetapi ia agak terlambat sekiranya negara cuba memperbetulkan perpaduan nasional itu di kemudian hari. Anak-anak sekolah sudah terdedah kepada perkauman pada usia yang muda dan hidup dalam keterasingan dengan belajar di sekolah yang berbeza, termasuk di sekolah swasta yang kini bercambah.
Kalau Putrajaya mahu memperbetulkan masalah ini, ia perlu melentur buluh dari rebung. Ia boleh bermula di sekolah rendah. Jika tidak, kita akan terus mendengar cerita tentang gelas aparteid, tentang anak-anak yang diejek kerana keturunannya.
Kita perlu dibesarkan sebagai rakyat Malaysia sejak umur kecil lagi dan berbangga bahawa kita ini orang Melayu, India, Cina, Orang Asli, Kadazandusun, Bajau, Iban, Melanau dan sebagainya, tetapi kita juga terlebih dahulu adalah rakyat Malaysia, yang saling hormat-menghormati kepelbagaian budaya yang ada dalam kalangan kita. – 13 Ogos, 2017.
Komen