KEBANYAKAN daripada 967 kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) masih tidak tahu nasib masa depan mereka.
Walaupun Kementerian Pengangkutan berkata kakitangan yang diberhentikan akan menerima tawaran baharu pada 15 Disember, sehingga kini masih belum ada surat rasmi lagi, kata beberapa kakitangan kepada The Malaysian Insight.
Dalam satu pesanan teks dilihat oleh The Malaysian Insight, seramai 65 daripada kakitangan terbabit akan dipindahkan kembali ke Kementerian Pengangkutan sementara 351 lagi ke Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Selebihnya 328 lagi akan dipindahkan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sementara lapan akan dipindahkan ke Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial Sabah dan lapan lagi ke Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial Sarawak.
Menurut beberapa sumber, bekas kakitangan SPAD menerima surat pemberhentian pada awal Oktober tetapi surat pemindahan baharu masih belum diterima.
“Kakitangan pada mulanya lega bila pada mulanya diberitahu mereka akan dipindahkan ke APAD.
“Tetapi ramai tidak gembira kerana sebahagiannya saja akan dipindahkan,” kata sumber.
Pakatan Harapan pada 23 Mei berkata ia akan membubarkan SPAD. Pada 6 Jun, SPAD ditukarkan nama kepada APAD dan diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan. Sebelum ini, SPAD di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa kakitangan akan diberikan kontrak dua tahun dan bermula dengan gred gaji kakitangan awam paling rendah.
“Jawatan kami disahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan gaji dari Kementerian Kewangan. Kami kakitangan tetap sementara kakitangan bukan tetap adalah pegawai kanan.
“Kami rasa tidak selamat kerana hanya diberikan kerja secara kontrak,” katanya.
Katanya, fungsi JPJ dan SPAD berbeza dan tidak bertindih.
“SPAD bertanggungjawab mengekalkan standard perkhidmatan sementara JPJ melihat kepada aspek teknikal kenderaan dan keadaan jalan,” katanya.
Beliau berkata ramai yang akan meninggalkan sektor awam jika gaji ditawarkan terlalu rendah.
Seorang lagi sumber berkata beliau tidak yakin dengan janji kerajaan untuk memindahkan mereka.
“Tanpa surat rasmi, masa depan kami belum pasti.
“Walaupun kerajaan rancang memindahkan 351 kakitangan ke APAD, mereka belum maklumkan sesiapa pun lagi.
“Penempatan baharu itu akan melalui proses temu bual yang sukar sekali lagi dan ditempatkan berdasarkan kemampuan. Mereka tidak sepatutnya campak saja kami ke mana-mana,” katanya.
Katanya, beliau bercadang memulakan perniagaan sendiri jika kerajaan gagal memindahkan mereka.
Seorang lagi sumber berkata beliau kecewa dengan gaji lebih rendah yang ditawarkan selepas 10 tahun berkhidmat di SPAD.
“Gaji minimum yang ditawarkan tidak adil kerana kami berpengalaman lebih 10 tahun. Kami dengar dari sumber tidak rasmi bahawa Menteri Pengangkutan Anthony Loke minta ketua pengarah potong gaji kami 30% saja.
“Tetapi kami masih tidak tahu kerana tidak ada sebarang tawaran lagi.”
Katanya, ketua pengarah bercadang menawarkan kontrak dua tahu kerana tidak ada masa mencukupi memperincikan semua portfolio kakitangan.
“Tetapi kami sudah dua kali diberikan fail. Kami faham kenapa mereka mengambil masa terlalu lama.
Katanya, resume dan portfolio diberikan kepada Kementerian Pengangkutan pada Jun dan Ogos.
Kementerian Pengangkutan sepatutnya melantik jawatankuasa khas 30 orang untuk memeriksa semula 900 kakitangan SPAD, katanya.
Katanya, beliau sedih dengan bayaran pemberhentian hanya sebulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
Katanya, formula itu akan hanya memberi kelebihan kepada mereka yang bergaji tinggi. – 28 Oktober, 2018.
Komen