MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini menolak tuduhan bahawa negeri itu tidak menyediakan pendidikan percuma dan berkata mereka kini sedang membantu pelajar di enam universiti di negeri itu.
Beliau berkata walau kerajaan negeri mempunyai sumber terhad namun tetap komited dalam menawarkan pendidikan berkualiti dengan yuran berpatutan seperti mana dilaksanakan di Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).
“Itu tak betul sama sekali kita sentiasa memastikan kualiti pendidikan adalah terbaik dengan yuran amat berpatutan,” katanya semasa menghadiri Pesta Makanan Bersatu Kelantan di Gombak hari ini.
Katanya, pendidikan percuma sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.
“Sama seperti sektor kesihatan, pendidikan merupakan tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk menguruskan cukai pendapatan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk akses kepada pendidikan berkualiti tapi ini tidak berlaku,” katanya.
Azmin turut menegaskan Selangor memulakan inisiatif ke arah pendidikan percuma dengan menyediakan skim bantuan pendidikan.
Katanya, kerajaan negeri bakal meluaskan peranannya tidak hanya di Unisel dan Kuis malah di empat lagi universiti lain di Selangor.
Minggu lalu Najib berkata kerajaan pembangkang yang mentadbir Selangor hanya tahu menabur janji kosong namun gagal melaksanakannya.
Sebagai contoh katanya polisi pendidikan percuma yang diperjuangkan tidak pernah berlaku di negeri itu malah yuran pembelajaran institusi pendidikan bawah kerajaan negeri didakwa lebih mahal. – 13 Ogos, 2017.
Komen