Mana insurans, kuota perumahan untuk OKU?


Zaim Ibrahim

OKU sering menjadi sasaran diskriminasi masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2018.

Persatuan Orang Cacat Islam Malaysia (Persis) kecewa kerana golongan kurang upaya itu masih menjadi sasaran diskriminasi bank dan penyedia insurans.

Naib yang dipertua Persis, Jasmadin Budin berkata masalah itu menyebabkan majoriti golongan OKU tiada perlindungan insurans dan pinjaman perumahan. 

“Kebanyakan golongan OKU tiada perlindungan insurans kerana didiskriminasi. 

“Malah sehingga kini, tiada peraturan atau garis panduan untuk memasukkan golongan OKU didalam polisi (insurans),” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Beliau turut terdapat ejen insurans yang menghubungi golongan OKU untuk menawarkan insurans tetapi apabila mendapat tahu mereka adalah OKU, panggilan tersebut dihentikan.

Jelasnya ini disebabkan syarikat insurans dan perbankan meragui keupayaan golongan OKU untuk membuat pembayaran walaupun mempunyai pekerjaan yang stabil.

“Contohnya ada seorang guru yang mempunyai gaji RM2,500 dan memohon untuk membuat pinjaman perumahan bagi membeli sebuah rumah berharga RM38,000 tetapi gagal. 

Syarikat-syarikat perbankan melihat golongan OKU tidak akan membawa keuntungan (kepada mereka),” jelas guru sejarah itu yang juga cacat penglihatan.

Atas perkara tersebut, beliau menggesa pihak kerajaan perlu mewujudkan satu kuota khas untuk golongan OKU mendapatkan insurans dan pinjaman perumahan

“Kalau kerajaan ada kuota perumahan untuk golongan bumiputera, jadi kami pun minta kuota khas seperti itu.

“Wujudkan polisi khas untuk OKU. Contohnya, kerajaan perkenalkan pengecualian cukai atau beri insentif kepada syarikat insurans untuk beri kemudahan kepada OKU,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan syarikat-syarikat insurans sukar memberi perlindungan kepada golongan OKU kerana mereka berisiko terlibat dalam kemalangan.

Oleh sebab itu, beliau juga menggesa kerajaan menumpukan kepada pembinaan infrastruktur dengan rekaan universal. – 27 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen