EKONOMI Malaysia boleh mengawal ketidaktentuan global berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Ekonomi Malaysia, walaupun keadaan global yang tidak menentu, mampu menyerap dan dapat dikawal. Dasar kerajaan akan sentiasa mesra perniagaan dan terbuka kepada idea-idea baru.
“Kami berada di tengah-tengah penstrukturan semula untuk bersedia menghadapi kejutan global terhadap sebarang pergolakan kewangan di masa hadapan.
“Kerajaan yakin bahawa dasar baru akan mewujudkan asas kukuh antara perbelanjaan berhemat dan memastikan sektor swasta diberi rangsangan yang kuat,” kata Perdana Menteri di Kuala Lumpur hari ini.
Bercakap di Persekutuan Penganalisis Teknikal Antarabangsa 2018, Dr Mahathir juga memberi jaminan kepada pelabur bahawa dasar kerajaan baru tidak akan menghalang perniagaan mereka.
“Bajet yang akan dibentangkan pada hari Jumaat telah dibentuk untuk menjadikan Malaysia lebih kukuh bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.”
Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan bertekad untuk memastikan kejayaan pilihan raya itu disejajarkan dengan kejayaan pembangunan negara. – 27 Oktober, 2018.
Komen