HUTANG dan komitmen kewangan negara sebanyak RM1 trilion akan terus menyelubungi persekitaran ekonomi negara. Debat mengenai isu hutang negara sama ada RM688 bilion atau sebenarnya RM1 trilion akan kekal jadi permainan persepsi antara kerajaan dan pembangkang.
Bagi rakyat, realiti yang lebih nyata sekarang ialah suasana tekanan keperlahanan ekonomi semakin dirasakan.
Justeru, Bajet 2019 memang dinanti-dinantikan. Walaupun seminggu menjelang tarikh pembentangannya pada 2 November, anehnya sesi ini jadi isu yang paling kurang diperkatakan.
Media massa masih lagi terperangkap dengan fokus melaporkan pelbagai kes-kes pendakwaan salah laku rasuah dan pembersihan wang haram membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan konco-konconya.
Isu tiga cadangan cukai baharu yang bertemakan Robin Hood agak kurang diperkatakan. Kerajaan mengumumkan mengenai usaha memperkenalkan cukai warisan, cukai pemilikan hartanah berlebihan dan cukai modal perniagaan.
Ia tiga cukai yang kurang diperjelaskan atau kurang diberikan perhatian oleh media massa. Justeru, masyarakat awam kurang kefahaman mengenai cukai baharu ini.
Respons ahli ekonomi juga terbatas. Cuma, Najib memberi amaran awal: Cukai terhadap keuntungan saham akan menyebabkan pelabur asing menjarakkan diri dari Bursa Malaysia.
Namun, ketiga-tiga cukai ini dianggap petanda bermulanya era Robin Hood dalam persekitaran ekonomi negara. Secara mudah, ia bererti “orang kaya kini tidak lagi menjadikan negara ini mesin mencetak keuntungan tanpa dikenakan cukai”.
Fokus utama tentunya pada kapitalis saham yang rakus mengaut untung di Bursa Malaysia tanpa sesen pun dicukaikan.
Rakyat macam kepenatan untuk memutar otak memikirkan impak cukai jenis Robin Hood ini. Apakah kaedah percukaian ini dan berapa banyak hasil akan diperolehi kerajaan apabila diperkenalkan?
Atau, mampukah cukai ini menampung kemerosotan RM23 bilion pendapatan negara apabila GST digantikan SST pada September lalu.
Menteri Kabinet pelbagai kementerian juga seperti tidak berani membuka mulut memberikan tips dan hala tuju Bajet 2019 serta komitmen kementerian masing-masing.
Tiap butir bajet yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat kali ini kekal misteri. Hampir tiada ramalan diperkatakan mengenai tema dan hala tuju bajet kali ini.
Pakar ekonomi syariah, Dr Zaharudin Ali memberikan tips, suasana bajet kali ini ada kecenderungan akan bersikap kurang popular di kalangan rakyat terutama penjawat awam.
Apa lagi, ini bajet pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH). Sejak berkuasa pada 10 Mei lalu, kerajaan pembaharuan ini berdepan pelbagai masalah kewangan dan kecelaruan ekonomi yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Paling teruk tentunya menangani konflik 1Malaysia Development Berhad yang membabitkan hutang dan kehilangan dana RM42 bilion.
Keadaan kewangan tambah parah dengan isu kehilangan RM18 bilion wang kutipan GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga.
Akhirnya, ditambah lagi dengan beban lesapnya RM16 bilion wang kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri yang sepatutnya dipulangkan kepada pembayar cukai.
Keadaan kewangan yang kritikal sekarang, tidak memungkinkan Bajet 2019 kekal meriah. Penjawat awam sudah boleh melupakan soal bonus atau kenaikan gaji berganda yang dijanjikan Najib.
Rakyat pula harus bersedia menerima kejutan mengenai status BR1M. Program ini akan menelan kos RM8 bilion sekiranya diteruskan.
Namun, sebagai pakar ekonomi yang berjiwa rakyat, Zaharuddin dalam wawancara di TV3, menekankan pentingnya rakyat marhaen B40 diberikan perhatian. Isu golongan berpendapatan rendah perlu dijadikan keutamaan percaturan Bajet 2019.
Tema Zaharuddin – rakyat bawahan perlu kekal menjadi topik penting. Namun, pada masa sama, masyarakat harus waspada. Budaya pemberian gula-gula sejak Bajet 2009 kepada penjawat awam dan B40 tidak mungkin berterusan.
Pada 2013, Zaharuddin pernah mengkritik kerajaan BN dengan menyifatkan Bajet 2014 hanyalah gula-gula.
Pemberian pelbagai inisiatif popular seperti BR1M hanya umpan bersifat semasa. Ia lebih kepada strategi pilihan raya dan bukan pelan jangka panjang dalam menyusun kualiti hidup rakyat B40.
Isu miskin bandar
Pada 27 Oktober tahun lalu, Najib selaku menteri kewangan mengumumkan bajet bertemakan “Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi Dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat Menuju Aspirasi TN50”.
Bajet itu sekali lagi dianggap bersifat gula-gula pilihan raya kerana disertai dengan pelbagai inisiatif termasuk meningkatnya angka pemberian BR1M dan wang ehsan penjawat awam.
Walaupun banyak gula-gula, BN tumbang juga pada 9 Mei lalu dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Bajet 2018 membabitkan peruntukan RM280 bilion.
Lima bulan selepas bajet itu diumumkan, negara gempar sekejap dengan laporan Unicef yang mendedahkan tahap nutrisi kanak-kanak di negara ini sangat kritikal. Malah, lebih kritikal berbanding Ghana.
Ia mencetuskan debat. Fakta Unicef dianggap sabotaj terhadap BN menjelang pilihan raya. Sedangkan dunia maklum, Unicef tiada kepentingan politik dalam mengeluarkan laporan tahunannya.
Sekadar ingatan kepada pemimpin PH. Turunlah ke Jalan Chow Kit dan sertai misi bantuan makanan yang dianjurkan pelbagai NGO di negara ini. Pasti ada kejutan besar.
Bahawa 70% penerima bantuan makanan yang berbaris setiap malam ialah penghuni rumah Projek Perumahan Rakyat sekitar Kuala Lumpur.
Satu kejutan kerana rakyat Malaysia B40 dalam kategori miskin bandar, kini terpaksa mendapatkan bantuan makan malam daripada NGO kerana krisis ekonomi yang teruk.
Percayakah PH, penduduk miskin di ibu kota berbaris bersama gelandangan, penagih dadah dan pekerja seks bagi mendapat bungkusan nasi dan minuman?
Ini tindakan bagi menyelamatkan kos menyediakan makan malam untuk keluarga. Kosnya sekitar RM20 semalam. Ia petanda betapa miskin bandar mula menampakkan tahap survival kehidupan yang kronik.
Matematiknya mudah: kalau miskin bandar dapat menyelamatkan RM20 sehari dengan menerima bantuan makanan malam di jalanan, bererti angkanya penjimatan ialah RM600 sebulan. Ia angka besar bagi keluarga yang berpendapatan RM1,500 ke RM2,000 sebulan.
Selain kita berjanji bulan bintang, Bajet 2019 harus kembali ke bumi kenyataan. Rakyat miskin sedang kelaparan! – 27Oktober, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mesoll Mohd · Ulasan