PENGALAMAN Mohamed Azmin Ali dalam mengetuai kerajaan Selangor dan kini sebagai menteri Kabinet dilihat lebih menguntungkannya dalam pemilihan PKR, walau menerima saingan sengit daripada Rafizi Ramli.
Penganalisis melihat, akar umbi parti lebih senang menerima kempen Azmin, antaranya disebabkan kawalannya ke atas struktur parti melalui kedudukannya sebagai penyandang timbalan presiden.
Oleh itu, kalangan penganalisis berpendapat, Azmin sepatutnya meraih undi lebih besar berbanding Rafizi untuk mengekalkan jawatan itu.
Selain itu, ia juga menunjukkan kempen pencabarnya Rafizi kurang berkesan di peringkat akar umbi, kata penganalisis politik, Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar.
“Cuma dari satu segi kita nampak kedudukan Azmin sebagai penyandang timbalan presiden dalam parti beri kelebihan kepada calon cai azmin.
“Malah, walaupun nampak sengit dan banyak serangan daripada kem Rafizi, nampaknya kempen mereka tidak berkesan.
“Kem Azmin guna strategi lebih baik dalam mendekati para pengundi,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu ketika dihubungi The Malaysian Insight.
.jpg)
Mengikut kiraan The Malaysian Insight, kem Azmin mendahului dalam pemilihan di 10 negeri setakat ini.
Selain Azmin yang mendahului 1,287 undi untuk jawatan nombor dua parti, tiga orang kanannya Zuraida Kamaruddin, Dr Xavier Jayakumar dan Tian Chua berada dalam lingkungan empat teratas untuk jawatan naib presiden.
Nurul Izzah Anwar daripada kem Rafizi bagaimanapun meraih undian terbanyak bagi jawatan naib presiden iaitu 39,624 undi.
Calon ketua AMK kem Azmin Ali pula Dr Afif Bahardin hanya menang tipis dengan perbezaan kurang daripada 50 undi berbanding pesaingnya Akmal Nasir daripada pasukan Rafizi.

Calon timbalan AMK, Hilman Idham juga dilihat selesa menjauhi dua lawannya dengan mencecah 10,000 undi.
Dalam pemilihan untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang melibatkan saingan 84 penjuru pula, 15 calon daripada kem Azmin mendahului berbanding hanya lima calon daripada kem Rafizi.
Salah satu calon popular, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mendahului dengan 34,383 undi.

Selangor bukan kubu kuat Azmin
Dalam pada itu Penganalisis Sosio Politik Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi pula berkata Azmin sebagai orang berpengaruh dalam parti sepatutnya mendapat keputusan yang lebih baik.
“Dari segi jumlah undi sepatutnya lebih besar kerana Azmin orang yang menguasai parti kerajaan dan pengaruh yang kuat. Rafizi pula hanya penganggur tiada platform tapi mampu beri saingan kerana bukan senang nak lawan azmin.
“Bagaimana Selangor pula dikatakan kubu kuat. Pada Fasa 1 Selangor berjaya ditembusi oleh Rafizi kerana Azmin hanya miliki majoriti lebih 1,000 undi. Sepatutnya sekurang-kurangnya perolehi suku majoriti daripada 9,000 undi iaitu 3,000.

Justeru, masih terlalu awal untuk meramalkan kemenangan kerana Sabah dan Sarawak dilihat penentu kemenangan kerana jumlah anggota yang agak tinggi, kata Awang.
Katanya, isu seperti dakwaan politik wang yang timbul dalam pemilihan itu juga mungkin akan mengubah perjalanan pemilihan sekiranya terbukti berlaku.
“Apa pun ini baru Fasa 1. (Dalam) Fasa 2 dan 3 mungkin akan tercetus isu sentimen yang boleh mengubah kedudukan. Jika tiba-tiba orang kuat Azmin ditangkap kerana politik wang, ini akan beri perubahan pada pengundian,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tunku Mohar pula berpandangan bahawa berkata kemenangan Azmin akan memperkukuhkan parti itu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ini memandangkan, lawannya Rafizi pernah membantah pelantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri kerajaan gabungan parti itu.
“Ia akan memberi kelebihan kepada pengukuhan kerajaan PH sekiranya kemenangan berpihak kepada Azmin.
“Jika Rafizi menang akan jadi sebaliknya kerana kita nampak serangan Rafizi terhadap PH dalam keputusan Kabinet.
“Malah kemnya pernah mengaitkan Dr Mahathir dalam isu (pelantikan) perdana menteri,” katanya. – 27 Oktober, 2018.
Komen