Hari pertama di Kedah, Azmin atasi Rafizi dengan 117 undi


Nabihah Hamid

MOHAMED Azmin Ali mendahului pencabarnya Rafizi Ramli dengan 117 undi di pemilihan PKR hari pertama di Kedah. 

Jumlah terkumpul di 11 negeri menunjukkan Azmin meraih 38,723 manakala Rafizi pula mendapat 37,319, menjadikan perbezaan mereka merebut jawatan timbalan presiden PKR adalah 1,404 undi. 

Azmin yang juga menteri ekonomi dalam Kabinet Pakatan Harapan itu memperolehi 1,148 undi dan memenangi enam Cabang PKR Kedah iaitu Jerlun, Padang Terap, Kuala Kedah, Pendang, Sik dan Baling. 

Rafizi pula menang empat cabang iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Alor Setar dan Pokok Sena dengan mendapat 1,031. 

Hari ini merupakan hari pertama pengundian di negeri jelapang padi itu, pemilihan berbaki di lima cabang yang akan dijalankan serentak bersama pemilihan di Perak esok. 

Kedah merupakan negeri keenam tertinggi keahlian dengan memiliki hampir 50,000 ahli.

Bagaimanapun hanya 21 peratus ahli PKR iaitu 4,090 daripada 19,457 keahlian, keluar mengundi di 10 cabang di Kedah.

Esok baki hampir 30,000 ahli yang layak akan mengundi di lima cabang iaitu Merbok, Padang Serai, Jerai, Kulim dan Sungai Petani.

Sejak pemilihan bermula pada 23 September sehingga14 Oktober lalu, hanya 70,505 daripada keseluruhan 320,957 ahli PKR yang layak mengundi di tujuh negeri, termasuk sembilan cabang di Selangor, keluar memilih kepimpinan parti.

Setakat ini, 11 negeri yang sudah mengundi ialah Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan.

Pemilihan di Selangor pula akan selesai sepenuhnya akhir bulan ini. Pemilihan negeri itu dibuat secara berperingkat dan baki enam cabang lagi akan mengundi pada 28 Oktober.

Melaka dan Negeri Sembilan masih belum mendapat keputusan rasmi kerana wujud masalah teknikal dalam sistem e-voting. – 26 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen