CALON naib presiden kem Rafizi Ramli, S Kesavan menafikan cuba merasuah seorang ahli PKR dengan cek RM500, sebaliknya wang itu adalah bantuan selaku ahli Parlimen Sg Siput.
Tegasnya, laporan polis yang dibuat adalah fitnah untuk memburuk-burukkan namanya menjelang pemilihan parti di Perak yang akan berlangsung esok.
“Ini adalah satu fitnah, pengadu berkenaan datang ke pejabat saya untuk minta bantuan. Dia ada tujuh orang anak dan salah seorang adalah pesakit kanser.
“RM500 adalah atas sumbangan ehsan kepada dia dan bukan pada dia. Cuma laporan polis ini saya fikir ada orang peralatkan dia untuk memburukkan saya. Esok pun pemilihan PKR Perak.
“Ini dikira bantuan kecemasanlah. Dia datang pada saya merayu dan menangis (minta bantuan). Sebab itulah kita bagi melalui cek Parlimen yang ditandatangani saya dan pegawai,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Beliau mengulas mengenai laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat semalam terhadapnya kerana didakwa cuba memberi rasuah sebanyak RM500.
Calon kem Reformasi 20 Tahun Rafizi itu dikatakan cuba merasuah menerusi cek bernilai RM500 yang dikeluarkan atas nama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sg Siput.
Pengadu, Rohaida Awang yang merupakan calon naib ketua Wanita Cabang Sg Siput mendakwa wang itu adalah supaya beliau menyokong Kesavan pada pemilihan parti yang akan berlaku esok di Perak.
Kesavan menambah yang beliau sanggup memberikan kerjasama dan sedia disiasat oleh pihak berkuasa mengenai dakwaan tersebut.
“Saya bersedia disiasat polis atau SPRM. Jika laporan palsu dibuat, saya serah pada polis untuk tindakan.” – 26 Oktober, 2018.
Komen