SATU laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat semalam terhadap calon naib presiden PKR S Kesavan kerana didakwa cuba memberi rasuah sebanyak RM500.
Calon naib presiden daripada Kem Reformasi 20 Tahun Rafizi Ramli itu dikatakan cuba merasuah menerusi cek bernilai RM500 yang dikeluarkan atas nama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sg Siput.
Pengadu, Rohaida Awang yang merupakan calon naib ketua Wanita Cabang Sg Siput mendakwa wang itu adalah supaya beliau menyokong Kesavan pada pemilihan parti yang akan berlaku esok di Perak.
Laporan polis dibuat pada pukul 1:55 pagi di Balai Polis Sg Siput.
Laporan polis itu yang dilihat The Malaysian Insight turut menyatakan pada 20 Oktober lalu, dua lelaki telah datang ke rumah Rohaida dan memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai Kesavan.
Kedua-dua lelaki itu cuba memujuk Rohaida menyertai kumpulan Kesavan.
Satu laporan terhadap SPRM pula dibuat pada jam 11:30 malam di SPRM Perak, Ipoh.
The Malaysian Insight sedang mendapatkan pengesahan polis Perak mengenai laporan tersebut. – 26 Oktober, 2018.
Komen