PRESIDEN MyPPP M Kayveas menuduh pengkritiknya dalam parti adalah antara mereka yang menerima RM36 juta yang dikatakan diselewengkan daripada 1Malaysia Development Bhd, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu.
Bercakap kepada The Malaysian Insight seminggu selepas dipanggil untuk soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata penerima wang itu ialah enam rakan separti dan sekutunya.
Katanya, beliau sudah menyerahkan butiran enam penerima berkenaan kepada SPRM ketika disoal siasat pada 18 Oktober, termasuk nama setiap individu.
Kayveas turut mendakwa bahawa wang itu, yang diterima menerusi dua transaksi membabitkan kira-kira RM16 juta dan RM20 juta sebelum PRU14, tidak pernah masuk ke akaun parti.
“Saya boleh cakap dengan pasti yang duit itu tidak masuk ke akaun parti. Diambil oleh pengkritik itu dan mereka yang mendakwa sudah menyingkirkan saya dan mengambil alih.
“Kalau mereka sudah ambil alih parti sekalipun, mereka tidak meletakkan wang itu ke dalam akaun parti.
“Kami sudah kesan ke mana wang itu diagihkan. Siapa yang ambil wang daripada siapa. Siapa orangnya yang menggunakan wang itu untuk menentang saya,” kata Kayveas kepada The Malaysian Insight di pejabat MyPPP di Kuala Lumpur.
Kayveas mendakwa beliau dipanggil oleh SPRM sebagai saksi dalam siasatan itu.
“Transaksi itu berlaku di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan badan pencegah rasuah mahu mengesahkan sama ada duit itu berkait dengan 1MDB atau tidak.
“Sudah tentu saya tidak dapat mengesahkan (ia daripada 1MDB) kerana saya tidak tahu sumbber wang itu. Itu jawapan ringkas saya.”
Kayveas dipecat daripada MyPPP awal tahun ini susulan pertelingkahan dalaman berkenaan kawalan parti. Naib presiden Maglin D’Cruz kemudian memegang jawatan pemangku presiden.
Puak penyokong D’Cruz mendakwa Kayveas bukan lagi ahli sejak 25 April. Namun, Pendaftar Pertubuhan (RoS) memutuskan pada 10 Julai bahawa Kayveas ialah presiden interim bersama sembilan yang lain dalam jawatankuasa interim.
Susulan soal siasat SPRM minggu lalu, Loga Bala Mohan, jurucakap bagi pihak yang menentang Kayveas menggesanya mendedahkan nama individu yang menerima RM36 juta itu.
Menjawab desakan itu, Kayveas berkata: “Ini kali pertama wang tunai diambil sebelum pilihan raya. Sudah tentu kami tahu siapa yang ambil duit itu. Mereka sendiri pun tahu.”
Kayveas berkata beliau sudah membuat laporan polis terhadap pengkritiknya: “Apa yang mereka buat tanpa pengetahuan parti, dan ibu pejabat..tanpa wang dimasukkan dalam akaun parti. Mereka ambil wang itu.”
Katanya, beliau atau parti tidak pernah menerima wang tunai daripada Barisan Nasional atau tiga perdana menteri sebelum ini.
“Saya tahu mereka beri tunai kerana tidak mahu memasukkan dalam akaun parti. Kerana kalau masuk dalam akaun parti, saya sudah tentu tahu.
“Tetapi ada saksi. Ada jejak di mana wang itu, di mana mereka sembunyikan. Berapa banyak akaun mereka masukkan wang itu.
“Berapa ramai terima wang itu. Berapa ramai buka akaun baharu untuk terima wang itu. Dan berapa ramai pindahkan wang itu dari bilik hotel, siapa tempah bilik hotel, siapa ambil kuncinya, di mana wang itu dan berapa banyak beg digunakan untuk bawa beg itu.”
Kayveas juga menafikan beliau membeli hartanah di luar negara dan menjualnya kepada seorang “Tan Sri”, menambah beliau hanya mangsa kempen “kotor”.
Loga Bala minggu lalu berkata majlis tertinggi parti yang diiktiraf oleh RoS akan bermesyuarat pada 30 Oktober untuk membincangkan tentang pendedahan Kayveas tentang RM36 itu dan laporan polis mungkin akan dibuat.
Beliau berkata ada beberapa laporan polis dibuat terhadap Kayveas sejak Julai tahun ini berhubung tuduhan beliau mempunyai jutaan wang dalam hartanah dan perniagaan di dalam dan luar negara. – 26 Oktober, 2018.
Komen