JENTERA kerajaan digunakan sebagai senjata menentang Pakatan Harapan (PH) ketika pilihan raya umum semakin hampir, amaran ahli Parlimen DAP kepada pengundi malam tadi.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, aa susulan tindakan terkini pihak berkuasa persekutuan terhadap beberapa ahli politik pembangkang.
Seorang daripadanya, Zahid Mat Arip daripada Bersatu yang ditahan bagi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching.
Zahid yang sebelum ini pembantu khas kepada bekas pengerusi Felda Isa Samad, baru-baru ini ditahan selepas mengkritik Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menerusi rakaman video.
“Beliau mengkritik TPM kerana mendedahkan maklumat kad pengenalan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dan membuat dakwaan tidak benar. Beliau kemudiannya ditangkap.
“Perkara yang sama berlaku kepada mereka yang mendedahkan salah laku, seperti (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara) Tony Pua dan (Ahli Parlimen Pandan) Rafizi Ramli; dan sekarang kita lihat Exco Kerajaan Pulau Pinang Phee Boon Poh,” katanya.
Phee ditahan pada Jumaat ketika memberikan kenyataan di pejabat SPRM di Pulau Pinang berhubung surat yang ditulisnya mengenai kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.
Phee, exco alam sekitar, sedang disiasat kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan ganjaran. Semalam, pendaftar mahkamah memberikan SPRM perintah reman untuk menahan Phee selama lima hari.
“Kami tidak bimbang apa-apa kerana kita berada di pihak yang benar. Phee memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membantu siasatan tetapi kesungguhan itu tidak dibalas. Beliau ditahan serta merta.
“Pada masa yang sama, pencuri dan kleptokrat, tidak berdepan tindakan sedemikian,” katanya.
Sim berkata sebarang siasatan dialu-alukan, tetapi pihak berkuasa perlu berlaku adil kepada semua pihak.
“Seperti dikatakan Dr Mahathir sebelum ini, siasat semua orang ... pencuri RM2.6 bilion dan lembu dalam kondo. Perlu adil,” katanya, merujuk kepada derma yang diakui diterima Perdana Menteri Najib Razak dan skandal National Feedlot Corp (NFC).
NFC menerima dana kerajaan bagi menternak lembu, tetapi sebaliknya melabur wang dalam kondominium mewah.
Sim juga berkata “senjata paling beracun” adalah perkauman, atau “asabiyyah”, dengan menggelar DAP sebagai anti-Islam dan anti-Melayu serta pembongkaran asal usul keturunan India, Dr Mahathir.
“Mereka mengatakan tiada tempat untuk orang Melayu di Pulau Pinang, jadi kaum apa yang ada di depan saya ini?”
Sim, yang popular di kalangan kira-kira 1,000 hadiran kerana mampu memetik ayat al-Quran, memberitahu yang BN juga akan menggunakan wang kerana tidak mampu menjadikan kerajaan yang benar-benar bersih, ekonomi yang baik atau perpaduan.
“Jadi, mereka akan menggunakan wang. Apa yang kerajaan beri, itu adalah wang anda. Ambil, kerana ia adalah hak anda. Ia tanggungjawab kerajaan.
“Tetapi apabila tiba untuk memilih, anda mengundi berdasarkan prinsip. Pilih kerajaan bersih yang boleh mempertahankan rakyat, bukan kleptokrasi,” katanya.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata PH akan melakukan reformasi agensi dan institusi persekutuan, selain pendidikan dan ekonomi bagi memperbaiki gaji dan pekerjaan untuk golongan belia dan siswazah.
“Kami mahu memastikan peguam negara melakukan kerja untuk rakyat, bukan untuk Umno.
“Kami mahu pembaharuan di SPRM. Mereka menahan Phee. Beliau berani, jadi beliau pergi sendiri ke SPRM. Bila kita akan lihat tindakan begitu daripada Zahid Hamidi? Mereka bersikap selektif,” katanya, merujuk kepada dakwaan Dr Mahathir yang Zahid mempunyai aset bernilai RM230 juta.
Ramai penceramah yang lain juga bercakap mengenai gaji yang rendah dan tepu serta kenaikan kos sara hidup, menyalahkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan skandal 1MDB.
“1MDB adalah skim cepat kaya yang menyebabkan rakyat menjadi mangsa, kerana kerajaan adalah penjaminnya. Bagi memastikan BN kekal berkuasa, akhirnya akan menjadikan negara ini gagal,” kata Ketua Bahagian PKR Balik Pulau Halim Hussain.
“Mereka (BN) fikir rasuah adalah halal diambil. Itulah amalan mereka,” kata Ketua Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahya.
Beliau juga bercakap mengenai pemotongan bajet yang menyebabkan orang ramai perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih banyak dan kekurangan pemberian ubat oleh hospital kerajaan.
Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa berkata PH boleh menghapuskan GST dengan menangani ketirisan bajet sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara yang mendapati 15% (kira-kira RM20 bilion hingga RM30 bilion) disebabkan penyelewengan, rasuah dan salah urus. – 13 Ogos, 2017.

Komen