KERAJAAN masih gagal bertindak untuk merangka garis panduan bagi membolehkan wanita Islam bertudung semasa bekerja, kata satu gabungan NGO.
Malaysian Alliance of Civil Society Organisastions in the UPR Process (Macsa) berkata perkara ini telahpun dibincangkan dengan kerajaan sejak Jun 2017 tapi masi tiada kata putus hingga kini.
Pengerusi bersamanya, Rafidah Hanim Mokhtar berkata perkara itu menyebabkan pekerja wania Islam di seluruh negara terus menjadi sasaran diskriminasi di tempat kerja.
Jelasnya, Macsa menerima aduan lebih daripada 100 orang dari 20 hotel di seluruh negara yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita Islam di tempat kerja.
“Saya dimaklumkan pekerja-pekerja hotel, Jabatan Tenaga Kerja masih lagi tidak melayan aduan mereka tentang kegagalan untuk mereka berhijab di tempat kerja.
“Terbaru, Mujahid (Yusuf Rawa) memberitahu akan umumkan kod pemakaian dan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran mengatakan perkara itu akan diselesaikan hingga akhir tahun.
“Tapi, sehingga kini sudah masuk Sidang Parlimen bersidang kali kedua tapi tiada perbahasan. Tiada juga mana-mana pihak panggil NGO untuk bincangkan bersama,” kata beliau.
Beliau turut menjelaskan, pihak kerajaan memberi alasan perkara itu masih dalam perbincangan tetapi sehingga hari ini, tiada sebarang perkembangan dimaklumkan.
Jelasnya, kod pemakaian tersebut adalah satu panduan dan bukannya paksaan untuk mana-mana wanita bertudung terutama sekali
“Diskriminasi ke atas wanita bertudung adalah diskriminasi sistematik. Ia bukan sahaja dikenakan kepada pekerja hotel tetapi juga graduan perhotelan (yang memakai tudung). Ia adalah satu pencabulan hak asasi wanita muslimah,” tambah beliau.
Katanya, kebanyakan hotel yang bertaraf lima hingga enam bintang itu bagaimanapun tidak mengenakan diskriminasi sama di hotel cawangan mereka di Timur Tengah.
“Sedangkan hotel-hotel ini juga wujud di negara Timur Tengah. Pemakaian hijab tidak akan menjejaskan industri (perhotelan),” ujar beliau.
Wanita dalam industri penerbangan dan pendidikan swasta berhadapan isu yang sama, katanya ketika ditemui selepas satu sidang media oleh MACSA di ibu negara, hari ini.
Cadangan untuk membentuk kod etika pemakaian patuh syariah itu diumumkan Mujahid pada Ogos lepas, dengan tujuan melindungi wanita Islam bertudung daripada amalan diskriminasi di tempat kerja.
Isu melibatkan hak wanita menutup aurat menjadi tumpuan adalah pada Januari lalu apabila kerajaan mendedahkan, 13 daripada 88 hotel di Semenanjung Malaysia melarang pekerja wanita bertudung.
Isu berkenaan garis panduan berpakaian itu dibangkitkan ahli Parlimen PAS di Parlimen pada Ogos lalu, namun ditentang oleh ahli Parlimen kerajaan. – 25 Oktober, 2018.
Komen