BEKAS perdana menteri Najib Razak berkata tuduhan yang dikenakan terhadapnya berkaitan dengan pengagihan semula dana untuk pembayaran hutang dibuat untuk kepentingan negara.
“Niat saya jelas, keputusan itu dibuat demi kepentingan negara,” katanya kepada media ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Najib turut menjelaskan bahawa ekonomi negara mungkin terjejas jika bayaran hutang tertunggak, dan akan membawa kepada isu lebih serius.
“Bila kita ambil duit tertentu, kita perlu bayar balik, kalau tidak dijelaskan ia akan membawa kemudaratan kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata jumlah keseluruhan bayaran hutang RM6.5 bilion boleh disalah erti sebagai wang yang hilang.
“Jangan keliru dengan angka. Sebab kalau disebutkan dengan angka pecah amanah RM6.5 bilion boleh menggemparkan. Tetapi dalam pertuduhan itu ia membabitkan pelaksanaan projek dan pembayaran hutang.
“RM6.5 bilion itu bayaran keseluruhan, dan ia sudah diambil kira,” katanya.
Najib berkata dalam kertas pertuduhan ke atasnya dan Irwan Serigar, tidak dinyatakan unsur kepentingan diri.
Hari ini, enam lagi pertuduhan dikenakan terhadap Najib, menjadikan bekas perdana menteri itu berdepan 38 pendakwaan setakat ini.
Bekas menteri kewangan itu sebelum ini didakwa dengan 32 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan RM2.6 bilion yang dikatakan diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di mana beliau mendakwa ia derma dari Arab Saudi, dan RM42 juta lagi daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd. – 25 Oktober, 2018.
Komen