PUTRAJAYA hanya perlu membayar apa yang sepatutnya diberi kepada Sabah, iaitu hasil pendapatan yang layak dan 20% royalti minyak, kata Mohd Shafie Apdal, berikutan laporan mengenai rancangan kerajaan persekutuan untuk berkongsi hasil.
Ketua menteri itu berkata Sabah, sebagaimana Putrajaya, turut berdepan masalah hutang, selain pembangunan infrastruktur yang ketinggalan.
“Kami mengalu-alukan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin negara mengenai perkongsian pendapatan dan kekayaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.
“Tetapi perkara yang berkaitan di sini, kami ketinggalan dari segi pembangunan. Terdapat keperluan untuk kami mempunyai infrastruktur yang lebih baik.
“Sehingga kini, kami tidak mempunyai jalan melakukannya, disebabkan oleh kekangan kewangan.
“Tetapi, kami menuntut kerajaan persekutuan membantu dalam bidang utama, iaitu keselamatan, kesihatan dan pendidikan.”
Dilaporkan semalam Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Putrajaya akan berkongsi hasil dengan Sabah dan Sarawak, tetapi ini hanya boleh dilakukan selepas kedudukan kewangan negara bertambah baik.
Shafie berkata Sabah tidak memerlukan pembangunan bertaraf tinggi, tetapi projek yang memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata walaupun negeri tidak keberatan berkongsi sumber semula jadi, Sabah ingin mendapatkan apa yang menjadi haknya.
“Kami tidak meminta 100%, tetapi hanya 20% royalti minyak. Kami tidak meminta lebih daripada itu. Saya yakin ini dapat dicapai.
“Dari segi keselamatan, kita tidak mahu lebih banyak bangunan atau jentera untuk melindungi sempadan jika ia hanya akan menyebabkan negeri membayar kos penyelenggaraan yang tinggi, dan jentera tidak berfungsi dengan sempurna.” – 25 Oktober, 2018.
Komen