PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan berani hari ini berkata pertuduhan dikenakan terhadapnya dan Najib Razak baru-baru ini, hanya akan menyebabkan rakyat simpati dengan bekas dua pemimpin tertinggi negara itu.
Menerusi Twitter, Zahid hari ini memuat naik gambarnya yang sedang duduk bersebelahan Najib sebelum bekas perdana menteri itu didakwa dengan enam lagi pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.
“Sokongan moral untuk Najib pagi ini. Tekanan bertubi-tubi kepada kami tidak mematah semangat, terus istiqamah dalam perjuangan,” katanya di Twitter.
“Tindakan ‘over kill’ yang dilakukan menimbulkan defisit keyakinan kepada pemerintah.
“Ia amat untungkan yang tertuduh. Terima kasih kerana mengheret kami.”
Zahid, yang juga bekas timbalan perdana menteri memuat naik gambar itu tidak lama selepas berlalu dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Beliau memberitahu media yang beliau menuju ke Parlimen.
Sokongan moral utk DS Najib pagi ini. Tekanan bertubi2 kpd kami berdua tidak mematah semangat terus istiqamah dlm perjuangan. Tindakan ‘over killed’ yg dilakukan menimbulkan defisit keyakinan kpd pemerintah. Ianya amat untungkan yg tertuduh. Terima kasih kerana mengheret kami. pic.twitter.com/eMWI6J7mUS
— Ahmad Zahid Hamidi (@Zahid_Hamidi) October 25, 2018
Pada Jumaat, Zahid didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah membabitkan RM114 juta.
Sebahagian pertuduhan itu berkait dengan yayasan amal miliknya, di mana ia membina sekolah agama, masjid dan rumah anak yatim.
Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah hari ini didakwa bersama atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai lebih RM6.63 bilion.
Mereka berdepan hukuman penjara 120 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Dengan pendakwaan hari ini, Najib berdepan 38 pertuduhan.
Bekas menteri kewangan itu sebelum ini didakwa dengan 32 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan RM2.6 bilion yang dikatakan diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di mana beliau mendakwa ia derma dari Arab Saudi, dan RM42 juta lagi daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd. – 25 Oktober, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Leng Kapri As Saribasi · Ulasan