PEGUAM mewakili Najib Razak dan Mohd Irwan Siregar Abdullah mahu membuktikan kepada mahkamah dakwaan pecah amanah jenayah terhadap bayaran RM6.63 bilion itu “satu jenaka”.
Shafee Abdullah berkata, pembelaan akan menunjukkan bahawa wang yang dibayar dalam kes pecah amanah jenayah itu sebenarnya dibuat untuk mengelakkan daripada negara gagal membayar hutang.
Jelasnya, bayaran berkenaan juga hanyalah peruntukan semula daripada peruntukan bajet kerajaan.
“Itu pun menjadi jenayah,” kata Shafee ketika bercakap kepada pemberita selepas Najib dan Irwan didakwa di mahkamah hari ini.
Daripada enam pertuduhan, Shafee menjelaskan empat daripadanya berkaitan dengan Syarikat Pelaburan Minyak Antarabangsa (Ipic) milik Abu Dhabi dan dua berkaitan projek saluran paip gas dan Landasan Kereta Api Pantai Timur(ECRL).
Beliau menambah, pihak defendan juga yakin untuk meneruskan perbicaraan itu kerana beranggapan kes itu tidak berasas.
“Ini adalah enam pertuduhan yang amat bodoh dan kami akan ‘menikmati’ perbicaraan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mungkin akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
“Kami tidak menolak kemungkinan untuk membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi.
“Saya bukannya mempertikaikan Mahkamah Seksyen tetapi kes ini berprofil tinggi, melibatkan ahli politik. Mahkamah Tinggi lebih bebas, tidak terpengaruh dengan proses perundangan dan kehakiman yang mungkin dipengaruhi oleh peguam negara,” ujar beliau.
Pertuduhan hari ini menjadikan Najib kini berdepan 38 pertuduhan.
Bekas menteri kewangan itu sebelum ini didakwa 32 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan RM2.6 bilion yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB, di mana beliau mendakwa ia derma dari Arab Saudi, dan RM42 juta lagi daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
Semalam, mereka dipanggil untuk disoal siasat di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – 25 Oktober, 2018.
Komen