Faham syariah, tidak kenal Tuhan


Mohd Syazreen Abdullah

Kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang baru-baru ini mengorban beberapa nyawa pekerja asing. – Gambar ihsan Bomba, 25 Oktober, 2018.

BARANG siapa yang berdamai dengan Tuhan maka dia juga berdamai dengan ciptaanNya, yakni alam dan manusia – itu kesimpulan yang disebut cendekiawan Islam Hossein Nasr dalam kitabnya “Man and Nature The Spiritual Crisis of Modern Man”.

Kemusnahan alam, penggondolan hutan, peperangan, penindasan, pembunuhan bukti hilangnya rohani manusia moden. Aneh, kemusnahan itu seiring dengan peningkatan wacana agama yang tidak pernah surut.

Justeru, apakah yang menjadi topik perbincangan wacana agama hari ini?

Nampaknya, agamawan cuma memusatkan perhatian kepada dosa peribadi manusia. Mereka percaya segala kemusnahan, kezaliman berpunca akibat kegagalan manusia mematuhi syariah. Bagi mereka, syariah dan manusia tidak mungkin terpisah.

Lantas, agamawan sibuk mengkritik manusia dalam isu seperti LGBT, zina dan pesta arak. Ironinya, suara agamawan jarang sekali menggemakan kecaman terhadap politikus, jauh sekali gergasi kapitalis.

Jadi, segala bencana – pada mata agamawan – seringkali dihalakan kepada dosa peribadi: LGBT, wanita tidak bertudung, tidak tangkap pelaku zina – dosa kerana menolak penegakan syariah.

Pendek kata, kemusnahan alam, segala bala yang diturunkan terhadap manusia berpunca akibat dosa peribadi. Noktah!

Tuhan tiada dalam kitab

Kemudian, mereka bertengkar mencari kebenaran melalui medan debat – ulama siapa, kitab mana paling relevan? Mereka ghairah memartabatkan syariah tanpa sedar; terlupa akan alam yang dirobek, korban perang dan penindasan manusia. Begitulah peri kontangnya unsur rohani.

Nyatalah, kehadiran Tuhan gagal diserap dengan jagat alam yang luas. Padahal alam adalah bukti sakral dalam meyakini hakikat wujud Tuhan.

Sudah tentu, tanpa syariatisasi sekalipun, manusia waras boleh berfikir tentang kezaliman dan kemusnahan. Justeru, untuk kenal Tuhan tidak semestinya menadah kitab.

Tetapi agamawan terlalu angkuh; tetap mahu membuktikan kemarahan Tuhan seputar dosa peribadi. Semua pandangan ulama dalam kitab fikah dihamburkan. Logik agamawan – tolak syariah, azab datang.

Maka, kebenaran agama hanya disuluh melalui telunjuk ulama. Hujah manusia jadi sandaran dan dianggap sakral bagi membuktikan kemurkaaan Tuhan. Mereka tidak habis-habis berpesan, rujuklah sandaran tradisi berautoriti yakni syariah – Quran, sunnah, ijmak dan qias.

Justeru, kita seolah-olah memutlakkan pengetahuan – ini suatu dogmatisasi pengetahuan. Pengetahuan yang tidak ada “rasa beragama” – mahu agama dipandang sakral melalui sandaran hujah manusia (baca: ulama).

Ini melahirkan orang agama yang “gila” mencari syariah tapi kaku memahami bahasa agama dek kerana terpisahnya “rasa” kebesaran Tuhan.

Hatta bersandarkan hadis dan kitab ulama mazhab muktabar sekalipun, ia tetap bukan kunci kebenaran mutlak dan mengangkat iman kita – kerana Tuhan tidak ada dalam tinta dan pandangan mazhab.

Manusia tidak akan menemui Tuhan pada helaian tebal kitab-kitab syariah atau perdebatan imam mazhab.

Manusia selalu mengkuduskan syariah hingga menghakis rasa bertuhan. Sedangkan, Tuhan bukan menilai ketakwaan hambaNya dengan berapa banyak hujah agamanya. Cukuplah beramal baik.

Namun, kita diajar – untuk mengaji agama, beleklah kitab-kitab dan sandaran ulama muktabar. Bukan merenung, memerhati dan berfikir tentang wujud dan keagungan Tuhan di alam semesta.

Manusia juga belum tentu bertemu Tuhan dalam ampuhnya hujah debat. Malah, manusia seakan-akan “menghimpit” Tuhan apabila hujah kitab tradisi dan kontemporari dilagakan, kerana manusia selalu mahu memadankan kehendak yang difikirkan paling betul pada fikiran.

Akhirnya kita tidak habis-habis bertelagah tentang Islam – hasil tafsiran ulama konservatif dan ulama kontemporari.

Begitu sahajalah sikap beragama. Akhirnya manusia terasing dalam ketertiban alam dan Tuhan. Jelas, manusia gagal membebaskan diri daripada tafsiran autoritatif – berasaskan syariah.

Alam jalan menuju Tuhan

Quran ada menggambarkan pertarungan antara tauhid dan syirik. Perihal nabi menentang kaum yang tidak mempercayai mukjizat melalui wacana akal dalam mentauhidkan Allah dan tidak mensyirikkanNya.

Para agamawan sering mengaitkan bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dengan dosa peribadi individu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2018.

Nabi berdebat sebelum mendatangkan bukti kebesaran Tuhan. Quran berfirman dalam surah Thaha 133, al-Hajj 46, Yusuf 105 – bukti alam untuk mengukuhkan akal dalam memahami wahyu – tanda zat Tuhan yang berkuasa.

Maka alam sebagai bukti renungan esensi Tuhan bagi mereka yang berfikir. Hakikat ini dapat ditemui melalui jalan irfani (tasawuf) — daya keimanan ilahi yang tidak ada di antara fundamentalisme dan modernisme.

Buktinya, kedua-dua kelompok itu tidak lebih melihat permasalahan dengan kembali kepada syariat yang keras atau menjadi rasionalis. Sekadar membuka kembali atau mentajdid lembaran tradisi Islam.

Justeru, masing-masing mahu menegakkan hujah. Kelompok fundemantalis menawarkan hujah tradisi dengan mengkuduskan teks agama – menolak rasionalisme. Sebaliknya modenisme menawarkan konsep rasionalisme.

Sedangkan, tauhid bukan hanya pertentangan antara rasio dan kudus sebaliknya membuka jalan lain kepada menusia menuju Ilahi. Itulah pesan irfani (gnostic) – tidak mengkuduskan rasio dan tidak membuang metafizik. Tauhid mengajar umatnya keseimbangan – mengangkat rasionalis dalam kesedaran iman.

Sayyed Hossein Nasr mengatakan gerakan fundamentalis atau revivalis Islam banyak berkisar soal debat tradisionalisme-modernisme.

Mereka ghairah memicu misi politik berbanding nilai-nilai agama. Nasr menawarkan gerakan tradisonalisme Islam yang kembali ke akar tradisi – “kebenaran dan sumber asal segala sesuatu” yakni mengenal Allah.

Tradisi menurutnya adalah kembali melihat jalan (tasawuf) dalam mengenal Tuhan, yakni konsep metafisik, kosmologi, psikologi dan eskatologi. Dengan mengembalikan manusia kepada pusat eksistensinya – body, soul dan mind.

Seruan ini menawarkan manusia moden untuk meneguhkan kembali tauhidnya. Berkobar-kobar melaung syariat sahaja tidak cukup; tidak juga dengan pengalaman rasio.

Seperti yang berlaku di Barat dari kurun ke-11 sampai ke-13 – perubahan rasionalisme  perlahan-lahan mengambil alih kedudukan teologi Augustine kepada Aristotelianisme. Akal mengambil tempat dalam wacana metafizik.

Mengisi rasio dan positivitisme tidak menghadirkan kemajuan – kekeringan jiwa dan rohani berlaku dalam kehidupan moden akibat menolak teologi mengenai alam. Maka pengetahuan hanyalah akal tanpa bantuan iman.

Jelas, rohani tidak terbit dalam sandaran hujah agama, apatah lagi dicampur aduk dengan keserakahan nafsu manusia yang memandai-mandai mentafsir Tuhan.

Tuhan ada di mana-mana, manusia sahaja yang gagal merasainya. Jangan sempitkan jalan merasai Tuhan.

Andaikan papan putih sebagai alam semesta dan ada titik kecil pada papan putih sebagai manusia, titik itu belum mewakili realiti sebenar.

Manusia lebih kecil daripada titik kecil pada papan putih, bahkan mata hanya tersorot pada papan putih sahaja. Itulah analogi bahawa manusia tidak berdiri sendiri; ada alam semesta yang menaunginya.

Jelas pengetahuan tentang tuhan tidak mungkin diperoleh kerana tuhan berada di luar kosmos tempat manusia berada. Maka alam sebagai jalan berfikir, merenung, mengenal dan merasai Tuhan. Manusia terlalu kerdil untuk menyempitkan Tuhan.

Justeru, agama mewajibkan umatnya memelihara alam kerana dunia adalah ciptaan tuhan dan manusia sebagai wakil penjaganya.

Sayang sekali, manusia membaca kalimah Tuhan tetapi tidak tersentuh akan kebesaran alam ciptaanNya. Bahkan melakukan yang sebaliknya. – 25 Oktober, 2018.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen