BEKAS ketua setiausaha perbendaharaan, Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah diketahui sebagai penjawat awam yang suka menari dan gemar mempertontonkannya kepada umum.
Kelincahannya berdansa boleh dilihat dalam video yang dimuatkan di Youtube.
Beliau juga gemar mengenakan kasut berwarna-warni, seperti yang diakuinya dalam satu coretan di Facebook pada 2016.
Katanya, beliau gemar mengenakan kasut, seluar jeans dan baju kasual ketika tidak menjalankan tugas rasmi.
Minatnya pada kasut berwarna-warni itu juga dirakam melalui gambarnya di Instagram, yang kemudiannya dipadam.
Beliau merupakan pengasas dan penaung Global Entrepreneurship Movement (GEM), sebuah NGO yang ditubuhkan untuk membantu usahawan muda.
Sewaktu tiba di satu program GEM, Irwan menggayakan jaket dan topi fedora untuk acara ulangtahun NGO tersebut, yang secara kebetulan diadakan semasa sambutan hari jadinya ke-61.
Ia berlangsung hanya dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14. Pada waktu itu, segalanya baik sahaja bagi anak kelahiran Kelantan ini, dan juga bosnya di dalam Barisan Nasional.
Parti yang menguasai pentadbiran kerajaan waktu itu yakin akan dapat mengekalkan Putrajaya.
__full.jpg)
Kontraknya sebagai ketua setiausaha perbendaharaan dilanjutnya selepas persaraan beliau pada Mac 2017. Beliau akan dapat terus berkhidmat sehingga Mac 2019.
Namanya jarang sekali menjadi tajuk berita, sepertimana lazim bagi seorang penjawat awam.
Namun sejak 2014, media mula menumpukan kepada kementerian kewangan, apabila satu demi satu pendedahan mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mula timbul.
Pada 31 Mei, 2016, Irwan dilantik sebagai pengerusi 1MDB ketika syarikat pelaburan negara itu diasak dengan pelbagai dakwaan mengenai rundingan yang meragukan dan hutang menggunung.
Irwan bersama dua lagi pengarah mengambil alih lembaga 1MDB pada 2016 apabila pengarah yang lain meletak jawatan beramai-ramai apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporan mengenai 1MDB.
Laporan itu menggariskan kelemahan tadbir urus 1MDB tetapi tidak menyebut bahawa perdana menteri dan juga menteri kewangan waktu itu, Najib Razak bertanggungjawab ke atasnya.
Walhal Najib sebagai menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB bertangungjawab ke atas dana terbabit.
Setahun kemudian, Irwan Serigar dilantik sebagai pengerusi Tun Razak Exchange dan juga Bandar Malaysia, dua daripada aset utama 1MDB.
Sewaktu tempoh khidmatnya dalam lembaga 1MDB, syarikat itu menyelesaikan hutang berjumlah AS$1.2 bilion dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) di London.
Hutang ini adalah berhubung tuntutan IPIC bahawa anak syarikatnya, Aabar Investments PJS, tidak pernah menerima bayaran sebanyak AS$3.5 bilion untuk hutang 1MDB.
Hutang berjumlah AS$3.5 bilion itu bagi dua bon bernilai AS$1.75 bilion setiap satu yang diuruskan oleh Goldman Sachs.

Bon itu merupakan jaminan IPIC untuk 1MDB meraih dana untuk membeli aset syarikat penjana kuasa.
Bayaran berkenaan menyelesaikan masalah berkaitan IPIC, namun misteri berkaitan AS$3.5 bilion yang masih hilang itu tidak diselesaikan.
Laporan media menggambarkan bahawa bayaran tersebut dipindahkan kepada syarikat “Aabar” di British Virgin Islands dengan nama seakan sama.
Irwan dan CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy tidak menjelaskan alasan untuk penyelesaian bayaran itu atau kehilangan AS$3.5 bilion tersebut.
Bekas ketua setiausaha yang bergaya itu mungkin akan berpeluang menjelaskannya memandangkan beliau akan didakwa bersama Najib hari ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Beliau akan menjadi penjawat awam kanan pertama yang didakwa semasa pentadbiran Pakatan Harapan.
Kedua-duanya akan didakwa atas tuduhan pencah amanah jenayah, yang dijangka melibatkan urusniaga 1MDB dengan IPIC.
Laporan media memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyebut, temujanji Irwan dengan suruhanjaya itu kebelakangan itu adalah berhububg siasatan firma milik Abu Dhabi itu.
Sebelum menjadi ketua setiausaha Perbendaharaan pada Ogos 2012, Irwan Serigar merupakan pegawai di Unit Perancang Ekonomi sejak 1984 hingga 2003.
Jawatan pertamanya di Kementerian Kewangan adalah dengan unit ekonomi tersebut.
Sewaktu jawatannya itu, Irwan menjadi pengerusi atau pengarah kepada sekurang-kurangya 20 syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan.
Menurut satu jawatan bertulis oleh menteri kewangan Pakatan Harapan pada 23 Oktober, Irwan terlibat dengan syarikat berikut:
1MDB, Actus Terra Global Holdings Sdn Bhd, Aroma Teraju Sdn Bhd, Bandar Malaysia Sdn Bhd, Cyberview Sdn Bhd, GovCo Holdings Bhd, Khazanah Nasional Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Malaysia Global Innovation & Creativity Centre Bhd (MaGIC), MRT Corp Sdn Bhd, MyHSR Corp Sdn Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Petroliam Nasional Bhd, Piramid Pertama Sdn Bhd, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd, Syarikat Tanah dan Harta Sin Bhd, Technology Depository Agency Bhd, TRX City Sdn Bhd, Wakala Global Suku Bhd dan Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.
Setiap sen yang diperolehinya daripada jawatan ini tidak termasuk jumlah hampir RM3 juta dalam bentuk emolumen yang diterima sebagai timbalan ketua setiausaha dan sebagai ketua setiausaha Perbendaharaan dari 2011 sehingga akhir perkhidmatannya, yang terhenti pada 13 Jun 2018.

Itu berdasarkan jawapan bertulis menteri kepada Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang bertanya mengenai pendapatan Irwan bagi tempoh tersebut.
Irwan yang menjadi timbalan ketua setiausaha pada Disember 2010 mendapat sebanyak RM281,800.43 dalam tahun pertama pada 2011.
Beliau menjadi ketua setiausaha pada 24 Ogos 2012 dan mendapat RM366,422.62 pada tahun berikutnya.
Pada tahun 2017, tahun terakhir beliau berkhidmat penuh sebagai ketua setiausaha, beliau mendapat RM495,711.45.
Dalam satu wawancara dengan The New Straits Times pada 2016, Irwan berkata beliau berasal dari keluarga miskin di Kelantan dan pengalamannya membantu beliau naik pangkat menjadi ketua setiausaha perbendaharaan.
“Saya bekerja di Mydin selepas Tingkatan 5, dengan pendapatan RM150 sebulan pada 1974. Itu sangat susah.
“Saya tidak ada duit untuk bayar yuran pendaftaran universiti dan terpaksa tinggal di rumah kawan dan mandi di universiti,” katanya.
Empat dekad kemudian, beliau hari ini berdepan masa depan yang tidak menentu apabila diheret ke kandang tertuduh bersama bekas ketuanya, Najib Razak. – 25 Oktober, 2018.
Komen