Peguam Phee cabar perintah reman di Kedah


Looi Sue-Chern

Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Phee Boon Poh bercakap kepada pemberita pada sidang media hari ini.– Gambar The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2017.

PEGUAM yang mewakili Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh akan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar esok untuk mendapatkan hakim bagi mendengar permohonan reman lima hari terhadap ahli politik DAP itu.

Peguam Ramkarpal Singh dan R.S.N. Rayer terdahulu gagal mendapatkan semakan permohonan itu di Pulau Pinang.

Ramkarpal berkata mereka cuba membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang petang ini namun tiada siapa untuk menerima dokumen itu.

Mereka turut ke rumah Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Hadhariah Syed Ismail namun tidak dapat memberikan dokumen itu.

“Kita akan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar esok dan cuba berjumpa pendaftar jam 9.15 pagi. Ahad hari bekerja bagi mereka.

“Mahkamah Tinggi Alor Setar mempunyai bidang kuasa yang sama untuk mendengar hal ini. Hanya ini pilihan yang kita ada sebab sudah gagal memohon di Pulau Pinang.

“Ini adalah perkara penting yang berkaitan dengan kebebasan seseorang. Perintah reman itu di luar aturan,” katanya.

Phee ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung beberapa surat berkenaan kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam yang merupakan dibawah bidang kuasanya sebagai exco kebajikan, masyarakat oenyayang dan alam sekitar.

Pagi ini, Timbalan Pendaftar Kanan Mahkamah Pulau Pinang Ameera Mastura Khamis membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman Phee lima hari lagi untuk siasatan atas dakwaan menggunakan jawatannya untuk rasuah.

Pengarag dan pengurus kilang terbabit yang juga ditahan semalam turut direman lima hari.

Ramkarpal berkata, semakan permohonan itu juga dibuat kepada mereka.

Katanya reman ke atas Phee adalah di luar aturan dan tidak sah kerana pendaftar membuat keputusan tanpa mendengar hujah peguam. – 12 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen