Curi RM5,500, pekerja kedai runcit dipenjara 12 bulan


AKIBAT mencuri wang majikan berjumlah lebih RM5,500, seorang bekas pembantu kanan runcit dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azahar Ab Rashid, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah pada sebutan kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan Mohd Azahar menjalani hukuman itu bermula pada tarikh dia ditangkap pada 27 April lepas.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa sebagai pembantu kanan runcit telah mencuri harta RM5,595.25 milik majikannya di kedai serbaneka di stesen MRT Taman Tun Dr Ismail pada 10.30 pagi, 30 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

“Tindakan tertuduh mengambil wang daripada peti besi yang diletakkan di kaunter juruwang dan tidak memasukkan wang tersebut ke dalam akaun syarikat adalah kesalahan serius,” katanya.

Mohd Azahar yang diwakili peguam Ahmad Zahid Abu Hashim memohon hukuman penjara minimum atas alasan anak guamnya tidak mempunyai kesalahan lampau. – Bernama, 24 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen