MENTERI Pengangkutan Anthony Loke perlu meletakan jawatan kerana gagal menyelesaikan isu antara pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing, kata Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Hussain.
“Kita tidak perlukan menteri yang tiada kepentingan dengan kita dalam industri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) hari ini.
“Jika beliau tidak hormati kita, sila letak jawatan,” katanya.
Kamarudin berkata Loke sudah dinasihatkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mengambil angkah bagi memastikan persaingan adil antara industri teksi dan e-hailing. Bagaimanapun, beliau mendakwa Loke tidak melakukan apa-apa untuk menyelesaikan isu itu.
Beberapa pemimpin persatuan berkenaan hadir ke MYCC yang kata mereka sebagai bukti persaingan tidak sihat antara aplikasi Grab, dan mendakwa ia memanipulasikan persepsi pelanggan untuk menganggap tambang teksi dicaj berlebihan.
Persatuan berkenaan yang mendakwa mewakili 25,000 pemandu teksi daripada 150 yayasan di seluruh negara.
Pada Ahad, beberapa pemandu teksi bertindak keluar pada sesi dialog dengan Dr Mahathir di Langkawi selepas melemparkan kata-kata kesat kepada pemimpin berusia 93 tahun itu.
Sesi dialog berkenaan diadakan bagi menyelesaikan kebimbangan pemandu teksi berhubung mata pencarian mereka yang diancam oleh Grab.
Pada program yang sama, Dr Mahathir mengumumkan bagi memastikan persaingan adil, perkhidmatan e-hailing Grab akan diminta menggunakan kenderaan yang diluluskan oleh kerajaan, membayar insurans dan cukai seperti teksi. – 24 Oktober, 2018
Komen