GABUNGAN Teksi seMalaysia (GTSM) memohon maaf kepada Dr Mahathir Mohamad selepas beberapa orang pemandunya menghinanya dan meninggalkan majlis dialog bersama perdana menteri itu di Langkawi pada Ahad lepas.
“Kami ingin memohon maaf kepada Dr Mahathir,” kata Presiden GTSM Kamarudin Hussain.
“Kami percaya mereka (pemandu teksi) yang tinggalkan majlis dialog tiada niat nak guris perasaan Dr Mahathir,” katanya.
Jelas beliau, pemandu teksi yang bertindak keluar dari majlis dialog itu disebabkan emosi kerana isu yang dibincangkan adalah berkaitan dengan punca pendapatan mereka dan tidak diperjelaskan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Mereka bertindak mengikut emosi kerana kecewa dengan jawapan Dr Mahathir berkenaan MOT tidak ambil tindakan (bagi pihak teksi untuk jadikan persaingan Grab adil),” katanya.
Kamaruddin juga menjelaskan bahawa pemandu teksi yang meninggalkan majlis tersebut bukan diupah oleh mana-mana parti politik.
“Juga nak jelaskan mereka ini tidak diupah oelh mana-mana parti untuk mensabotaj majlis dialog.”
Ahad lepas, Dr Mahathir menawarkan diri untuk meletak jawatan berikutan 10 pemandu teksi mengeluarkan kata-kata kesat sebelum bertindak keluar dewan.
Perdana menteri berada di Langkawi ketika itu bagi menghadiri majlis dialog dengan pemandu teksi, memberitahu mereka berkenaan langkah-langkah yang diambil Putrajaya untuk manjadikan persaingan dengan perkhidmatan e-panggilan, Grab adil.
Pada majlis yang sama, Dr Mahathir juga mengumumkan Grab akan diminta supaya menggunakan kenderaan yang diluluskan kerajaan, membayar insurans dan cukai seperti teksi. – 24 Oktober, 2018.
Komen