Najib, Irwan tiba di ibu pejabat SPRM


Alfian Z.M. Tahir

Najib Razak tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya tengah hari tadi. Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah semalam dipanggil menghadirkan diri hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Oktober, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya tengah hari tadi, dijangka disoal siasat lanjut berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah semalam dipanggil menghadirkan diri ke ibu pejabat agensi anti rasuah itu hari ini.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, kedua-dua mereka akan didakwa esok kerana menyeleweng berbilion ringgit daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan dana yang disatukan untuk menutup skandal 1MDB.

Irwan tiba menaiki Perodua Myvi hitam dua jam kemudian. Beliau hadir seorang diri.

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah tiba sendirian menaiki MYvi hitam dua jam kemudian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Oktober, 2018.

Najib dan Irwan tidak bercakap kepada media yang telah sedia menunggu.

Sumber SPRM berkata ada kemungkinan Irwan akan ditahan sebelum dibawa ke mahkamah esok untuk didakwa.

Najib sebelum ini dihadapkan dengan 32 pertuduhan melibatkan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung skandal penyelewengan wang 1MDB.

Difahamkan Najib akan dibebaskan hari ini dan hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur esok bagi menghadapi enam lagi pertuduhan.

Minggu lepas Najib dua kali dipanggil bagi menjelaskan mengenai bayaran sebanyak AS$1.2 bilion (RM5.04 bilion) kepada dan kekayaan Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC) sebagai bayaran hutang berjumlah AS$6.5 bilion. – 24 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen