POLIS perlu terlebih dulu mengesahkan memiliki 44 barangan kemas milik Global Royalty Trading SAL sebelum meminta mereka tampil mengemukakan bukti pemilikan, kata peguam yang mewakili syarikat tukang emas dari Lubnan itu.
Peguam David Gurupatham memberitahu The Malaysian Insight bahawa polis perlu menghormati perintah mahkamah dan mengesahkan sama ada mereka memiliki 44 barangan kemas itu atau tidak.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu memerintahkan kerajaan mendedahkan sama ada ia merampas 44 barangan kemas yang terdiri daripada tiara, rantai berlian, cincin, gelang tangan dan subang.
Semua 44 barangan itu dipercayai antara 12,000 barangan kemas yang dirampas dari beberapa premis dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak dalam serbuan dilakukan selepas PRU14.
“Hanya selepas ia disahkan, baru kami boleh kemukakan tuntutan di bawah Seksyen 53 Akta Anti Pengubahan Wang Haram. Sebaik saja ia dilakukan, maka proses sah mengikut undang-undang akan berlaku,” kata peguam.
Gurupatham berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun terdahulu hari ini bahawa pihak yang menuntut hak terhadap mana-mana 12,000 barangan kemas yang dirampas perlu terlebih dulu mengemukakan bukti milikan.
Fuzi juga menggesa Global Royalty Trading SAL yang berpangkalan di Beirut itu supaya bekerjasama dan membenarkan kenyataan diambil.
Tukang emas Lubnan, Samer Halimeh menyaman isteri Najib, Rosmah Mansor kerana gagal membayar RM60 juta untuk barangan kemas yang dikatakan dirampas dalam serbuan itu.
Mahkamah menggesa kerajaan mengemukakan afidavit jawapan dalam tempoh dua minggu dan meminta bantuan Rosmah untuk mengenal pasti barangan itu. Mahkamah turut menetapkan 4 dan 5 Mac depan untuk perbicaraan selepas menolak permohonan Rosmah untuk membatalkan saman Halimeh.
Gurupatham berkata kes anak guamnya kukuh: “Biasanya tukang emas akan membuktikan milikan. Sebab itulah beliau ke mahkamah dari awal lagi.” – 24 Oktober, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen