WAKIL rakyat Umno Sabah masih menunggu hasil cabaran Musa Aman terhadap Shafie Apdal selaku ketua menteri sebelum memutuskan sama ada mereka akan melompat parti, kata beberapa orang pemimpin parti negeri.
Buat masa sekarang, kata pemimpin negeri ini, semua orang bercakap sembunyi-sembunyi tentang persoalan meninggalkan parti dalam Barisan Nasional itu, tetapi mereka dijangka akan bertindak masuk ke dalam Parti Warisan Sabah atau membentuk platform politik baharu sekiranya keputusan mahkamah tinggi memihak kepada Shafie.
Musa yang merupakan bekas pengerusi BN Sabah dan ketua Badan Perhubungan Umno negeri sedang mencabar pelantikan Shafie sebagai ketua menteri, mendakwanya tidak sah dan tidak berpelembagaan.
Selain Shafie, beliau turut menamakan Yang diPertuan Negeri Juhar Mahiruddin dalam saman tersebut.
Cabaran Musa berdasarkan fakta yang beliau sudah mengangkat sumpah selaku ketua menteri pada 10 Mei tetapi Juhar kemudiannya melantik Shafie sebagai ketua menteri dua hari kemudiannya.
Pendengaran kes ditetapkan bermula esok, 25 Oktober.
Sabah berada dalam dewan tergantung selepas Warisan-Pakatan Harapan dan BN terikat dengan 29 kerusi masing, menyebabkan Parti Solidarti Tanah Airku menjadi ‘kingmaker’ selepas menang di kerusi DUN Bingkor dan Tambunann serta kerusi Parlimen Keningau.

Situasi politik negeri menjadi tidak menentu selepas Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) bertindak keluar daripada BN dan bersekutu dengan Warisan, membawa bersamanya tiga kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen.
Umno Sabah menang tujuh kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu tetapi dua wakil rakyatnya keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas, menyebabkan ia kini hanya mempunyai 11 kerusi DUN dan lima kerusi Parlimen.
Lima kerusi tersebut ialah Kinabatangan, Kudat, Sipitang, Beaufort, Beluran dan Libaran.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang bukan sahaja ahli Parlimen dan Adun yang ternanti-nanti hasil bicara kes itu tetapi juga ketua bahagian dan cawangan Umno.
Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman dan Adun Sukau Saddi Abdul Rahman yang baharu sahaja keluar Umno dan jadi wakil rakyat Bebas sekarang bersekutu dengan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).
GBS adalah pakatan politik baharu terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Bersatu Sabah dan Umno Sabah.
Bagaimanapun, Anifah sudahpun memberikan petunjuk akan mewujudkan parti politik baharu yang kemudiannya akan menyertai GBS.

Sumber berkata antara wakil rakyat Umno yang dijangka mengikut Anifah adalah Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin dan Ahli Parlimen Libaran Zakaria Edris.
Sumber juga mendedahkan yang Bung dan Ahli Parlimen Kudat Rahim Bakri yang kini sudah tidak sekutu dengan Musa juga cuba menyertai Warisan tetapi Shafie selaku ketua parti tersebut tidak mahu wakil rakyat Kinabatangan itu dalam partinya.
“Ketua menteri telah cakap secara tertutup yang parti akan berunding dengan yang lain (untuk menyertai Warisan), tetapi tidak (melibatkan) Bung,” kata sumber.
Warisan sudah menerima kemasukan Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli daripada Umno pada 12 Oktober.
Situasi juga semakin sukar diramal dengan baki parti komponen BN yang lain.
Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang juga Aduk Sook Ellron Angin sudah jelas menyatakan beliau akan membuat pengumuman rasmi keluar parti tidak lama lagi.
Hubungannya dengan Presiden PBRS Joseph Kurup dan Timbalan Presiden Arthur Kurup sudah terputus.
“Keputusan untuk meninggalkan (PBRS) sudah dibuat. Tetapi saya tak akan buat pengumuman (rasmi) lagi,” kata Angin.
Malah, pertemuan beberapa pemimpin kanan pembangkang Sabah dengan bakal presiden PKR dan perdana menteri Malaysia Anwar Ibrahim sebelum ini turut mencetuskan banyak khabar angin tentang situasi politik Sabah yang kini tidak menentu. – 24 Oktober, 2018.
Komen