Najib, Irwan Serigar akan didakwa pada Khamis


Nabihah Hamid Alfian Z.M. Tahir

Menurut sumber Umno, Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Najib Razak akan ditahan esok sebelum didakwa pada Khamis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2018.

BEKAS ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas perdana menteri Najib Razak dijangka akan ditahan esok berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum didakwa pada Khamis, kata sumber Umno.

Dua ahli Majlis Tertinggi Umno yang tidak mahu identiti mereka didedahkan itu memberitahu The Malaysian Insight, mereka kini sedang bersiap sedia untuk berkumpul di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sekiranya Irwan dan Najib ditahan.

“Kita memang dengar esok akan ditangkap dan didakwa lagi Khamis. Jika esok ditahan kita akan berkumpul,” menurut sumber itu tanpa mengulas lanjut. 

Laporan terdahulu menyatakan turut sama akan didakwa pada Khamis adalah bekas ketua pengarah risikan Hasanah Abdul Hamid. Ketiga-tiga mereka dijangka akan didakwa secara berasingan. 

The Malaysian Insight cuba menghubungi Peguam Negara Tommy Thomas untuk pengesahan dan masih menunggu maklum balas daripada beliau. 

Terdahulu, Najib dan Irwan dilaporkan dipanggil oleh SPRM untuk disoal siasat di ibu pejabat agensi anti rasuah itu pada pukul 2 petang esok. 

Mereka dijangka akan disoal siasat berhubung urusan antara 1MDB dan syarikat pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

Sumber membritahu The Malaysian Insight, kedua-dua mereka akan dirakamkan keterangan namun enggan mengulas lanjut. 

Laporan lain menyatakan kedua-dua mereka akan didakwa pada Khamis, dengan Najib dijangka akan berdepan enam lagi pertuduhan. Najib sebelum ini berdepan 32 pertuduhan penyelewengan, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan wang yang dikatakan oleh pihak berkuasa datang daripada 1MDB. 

Sementara tu, Hasanah dijangka akan didakwa berhubung dakwaan penyelewengan AS$12 juta (RM49.9 juta) yang didakwa dibawa masuk menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum Pilihan Raya Umum ke 14. 

Hasanah bersama lapan pegawai risikan ditahan reman beberapa hari selepas agensi anti rasuah itu merampas AS$6.3 juta dari beberapa lokasi. Rampasan terbesar, AS$4.07 juta, ditemu di sebuah kondominium yang disewa di Cyberjaya. – 23 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen